suria

Peras Ugut: Polis Tahan Suami Isteri, Tiga Lelaki

SHAH ALAM: Polis menahan sepasang suami isteri dan tiga lelaki berhubung kes peras ugut membabitkan seorang lelaki yang bekerja sebagai pelukis tatu dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Baiduri Jaya, Bandar Teknologi, Kajang, pada Ahad.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor SAC Mohd Adnan Abdullah berkata lelaki berusia 25 tahun itu membuat laporan polis kira-kira 2 pagi pada 7 Oktober selepas mendapat panggilan daripada seorang wanita memaklumkan bapanya berada dalam tahanan suspek dan meminta wang tunai berjumlah RM350,000.

"Berikutan laporan itu, polis menjalankan gerakan dan menyerbu sebuah rumah di taman perumahan tersebut dan menahan seorang wanita bersama empat lelaki termasuk suami wanita itu, seorang warga Bangladesh," katanya pada sidang media di sini, Isnin.

Mohd Adnan berkata dengan penahanan kesemua suspek berusia antara 28 dan 42 tahun itu, kes yang disiasat mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan itu dianggap selesai.

Mengulas lanjut, beliau berkata bapa lelaki itu selamat dan ditemui berada bersama kesemua suspek ketika serbuan dilakukan. Polis turut merampas tiga telefon bimbit milik suspek. Mohd Adnan berkata kejadian itu dipercayai ada kaitan dengan masalah hutang antara mangsa iaitu bapa kepada lelaki berkenaan yang bekerja sebagai agen pekerja asing, dengan suspek wanita, seorang pengusaha kedai runcit.

Dalam pada itu, Mohd Adnan mengesahkan wang tunai berjumlah RM285,000 berjaya dijumpai semula berikutan kejadian lima lelaki bersenjatakan pistol melarikan wang tunai kira-kira RM1 juta daripada sebuah van keselamatan di Klang pada 3 Oktober lepas.

Sambil menjelaskan siasatan masih dijalankan, beliau berkata polis setakat ini belum mendapat petunjuk termasuk daripada rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

Dalam kejadian pukul 5.30 petang itu, van terbabit berhenti di sebuah kedai nombor ekor di Jalan Meru, Klang untuk mengutip wang hasil pertaruhan judi sebelum didatangi suspek yang menaiki kereta Proton Waja berwarna hijau.

Kumpulan penjenayah itu kemudian melarikan wang tunai dan senjata api milik pengawal keselamatan serta bertindak membakar van keselamatan berkenaan.

Mohd Adnan berkata gerakan memburu suspek sedang dijalankan dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi balai polis berhampiran. -BERNAMA

Artikel Lain