suria

Mayat Pemandu Lori Terjatuh Dalam Lombong Ditemui

SUNGAI SIPUT: Seorang pemandu yang dilapor terjatuh bersama lorinya ke dalam lombong di Kampung Sungai Buloh di sini dua hari lepas, ditemui lemas pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superitendan Azman Salim berkata, mayat Wong Yoke Kuan, 51, ditemui timbul pada pukul 8 pagi oleh pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sungai Siput untuk bedah siasat, katanya kepada pemberita di sini.

Azman berkata, dalam kejadian pukul 12 tengah hari itu, lori yang dipandu mangsa menggelongsor ke dalam lombong berhampiran selepas hilang kawalan ketika menurunkan muatan tanah bagi projek menambak tapak perumahan di kawasan berkenaan.

Beberapa pekerja yang berada di kawasan itu gagal membantu mangsa lalu menghubungi pasukan Bomba dan Penyelamat bagi mendapatkan bantuan, katanya.

Operasi mencari mangsa dilancar oleh pihak berkuasa selepas menerima laporan namun gagal menemuinya sebelum dihentikan pukul 6 petang Sabtu dan disambung semula pagi Ahad yang membawa kepada penemuan mayat lelaki berkenaan, katanya. - BERNAMA

Artikel Lain