suria

Mahkamah Rekod Pengakuan Tujuh Rakyat Somalia 18 Oktober Ini

KUALA LUMPUR: Mahkamah akan merekod pengakuan bersalah tujuh rakyat Somalia, yang didakwa atas pertuduhan pilihan melepaskan tembakan terhadap komando Malaysia di Teluk Aden tahun lepas, pada 18 Oktober ini.

Sebelum ini, mereka didakwa mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (Hukuman Lebih Berat) 1971 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, pertuduhan pilihan terhadap mereka ialah mengikut Seksyen 32(1)(a) Akta Senjata Api yang memperuntukkan hukuman lebih ringan iaitu penjara sehingga 14 tahun.

Pertuduhan itu ditawarkan kepada mereka selepas representasi pembelaan, yang dibuat pada Mei lepas bagi membatalkan pertuduhan asal, ditolak Jabatan Peguam Negara.

Peguam Imran Hadzlie Abd Hamid memberitahu media pihak pendakwaan dalam surat bertarikh 20 Sept lepas, menawarkan rundingan bagi pengakuan bersalah terhadap semua tertuduh berhubung pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 32(1)(a) Akta Senjata Api. "Pertuduhan alternatif itu ditawarkan kepada semua tertuduh dengan syarat mereka perlu mengaku salah terhadap pertuduhan tersebut," katanya.

Pada prosiding hari ini, Hakim Kamardin Hashim menetapkan 18 Oktober untuk merekod pengakuan tertuduh selepas pendakwaan, yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Yusaimi Amir Abd Karim, memohon tarikh baharu.

Yusaimi Amir berkata pada tarikh itu, pendakwaan akan mengemukakan pertuduhan pilihan dan mahkamah akan merekod pengakuan mereka.

Semua tertuduh kini ditahan di Penjara Kajang.

Pada 20 Januari 2011, komando Tentera Laut Diraja Malaysia menghulurkan bantuan kepada MT Bunga Laurel apabila kapal itu diserang lanun Somalia bersenjatakan rifel AK-47 dan pistol dalam operasi menyelamat diberi nama 'Fajar' yang dijalankan bersama Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM). -BERNAMA

Artikel Lain