suria

Lima Rakan Dijumpai Semula Selepas Dua Jam Sesat

SIBU: Lima orang sahabat yang masuk hutan di Kemuyan dekat sini lewat petang Ahad untuk tujuan riadah bertukar menjadi pengalaman menakutkan apabila mereka gagal mencari jalan keluar setelah sesat selama dua jam.

Kelima-lima mereka, tiga wanita dan dua lelaki berumur antara 23 hingga 27 tahun, ditemui semula sepasukan pencari dan penyelamat di satu tempat terletak dua jam berjalan kaki dari jalan utama.

Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelemat Sungai Merah, Masidi Taha, pihaknya menerima panggilan kecemasan Bilik Operasi di Kuching, pukul 6 petang dan terus mengarahkan gerakan mencari.

"Saya mengetuai sepasukan sembilan orang anggota pergi ke kawasan berkenaan dan menemui kelima-lima mereka kira-kira pukul 8.05 malam," katanya ketika dihubungi pada Isnin.

"Mereka tidak mengalami sebarang kecederaan tetapi dilihat dalam keadaan ketakutan. Tidak seorangpun daripada mereka membawa lampu suluh yang menambahkan lagi kesukaran mencari jalan keluar di kawasan hutan yang mereka tidak biasa," katanya.

Masidi menasihatkan orang ramai yang bercadang masuk hutan supaya melakukannya pada awal pagi dan di lokasi yang mereka tahu.BERNAMA

Artikel Lain