suria

Lajim Dibidas Kerana Dakwa Sabah Dipinggir

KUALA LUMPUR: Seorang bekas timbalan menteri yang baru melompat keluar dari Barisan Nasional (BN) hari ini dibidas dua penyokong kerajaan yang menyifatkan beliau sudah "berjangkit penyakit pembangkang" apabila turut menggunakan taktik menghentam kerajaan selain membuat dakwaan tidak benar mengenai pembangunan di kawasan beliau. Nada berbeza yang digunakan Datuk Seri Lajim Ukin (Bebas-Beaufort) yang juga bekas Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu dibidas Datuk Sapawi Ahmad Wasali (BN-Sipitang) dan Datuk Abdul Rahman Dahalan (BN-Kota Belud) yang terkilan dengan dakwaan yang dibuat.

"Beaufort kata kerajaan BN zalim, kata di Beaufort tidak ada pembangunan. Ini tidak benar. Sipitang sebelah dia (Beaufort) saja, sebenarnya pembangunan sangat hebat di bawah BN, tetapi bila keluar parti terbalik jadinya, itu perangai pembangkang la...ini penyakit pembangkang, selalu guna gimik, tetapi sebenarnya mereka panik," kata Sapawi.

Beliau yang membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2013 di Dewan Rakyat hari ini sebaliknya berkata, Beaufort dilimpahi pelbagai projek pembangunan termasuk pembinaan hospital baru, dua jambatan bernilai lebih RM80 juta, sekolah dan pelbagai pembangunan infrastruktur lain.

Katanya perkembangan kawasan Koridor Sabah yang membabitkan Papar, Kimanis dan Sipitang secara tidak langsung turut memperkasa pembangunan di Beaufort. Terdahulu, Lajim ketika membahaskan rang undang-undang sama mendakwa masih terdapat kawasan di Sabah yang tidak mendapat pembangunan, khususnya infrastruktur yang mencukupi, walaupun negeri itu dikatakan 'simpanan tetap' B Ndalam pilihan raya.

Lajim dalam ucapannya mendakwa rangkaian jalan raya di negeri itu masih teruk malah turut berlaku kekurangan doktor dan guru di Sabah.

Lajim yang sebelum ini juga merupakan Anggota Majlis Tertinggi Umno mengumumkan peletakan semua jawatannya dalam parti serta dalam Barisan Nasional (BN) pada Julai lepas untuk bekerjasama dengan pembangkang di Sabah.

Dalam pada itu, Abdul Rahman yang bangkit mencelah perbahasan Sapawi membangkitkan isu 20 peratus royalti minyak yang turut disentuh Lajim, yang disifatkannya hanya modal politik politik pembangkang.

Berbekalkan statistik daripada Kementerian Kewangan, Abdul Rahman sebaliknya menegaskan bahawa peruntukan yang disalurkan oleh kerajaan Persekutuan kepada Sabah adalah lebih besar berbanding sekiranya royalti 20 peratus itu diberikan. "Untuk 2012 hasil kutipan cukai dari Sabah ialah RM3.87 bilion, tetapi belanja untuk Sabah untuk kos pengurusan dan pembangunan yang diperuntukkan oleh kerajaan Persekutuan mencecah RM12.7 bilion.

"Maknanya terdapat tambahan dalam RM7 bilion hingga RM9 bilion belanja kerajaan Persekutuan untuk Sabah, jauh lebih banyak dari apa yang mungkin dibelanjakan oleh pembangkang jika mereka beri royalti minyak 20 peratus yang dijanjikan itu," katanya yang turut menyifatkan isu itu sengaja dimainkan pembangkang untuk membangkitkan sentimen kenegerian di negeri itu. -BERNAMA

Artikel Lain