suria

Kos Terkini KLIA2 RM4 Bilion

KUALA LUMPUR: Peningkatan sekali ganda kos projek pembinaan Lapangan Terbang Tambang Murah (KLIA2) daripada RM2 bilion kepada RM4 bilion berpunca daripada keperluan semasa terutama bagi menampung pertambahan jumlah penumpang.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Rahim Bakri berkata, pertambahan anggaran kos terkini pembinaan KLIA2 itu dibuat berdasarkan kajian semula projek berkenaan terutamanya berdasarkan perkembangan drastik industri penerbangan kos rendah.

"Memang peringkat awal pada tahun 2009 kita buat keputusan untuk bina lapangan terbang ini dengan nila RM2 bilion. Namun anggaran kos terkini bagi projek KLIA2 adalah sebanyak RM4 bilion berdasarkan skop sedia ada bagi kontrak-kontrak yang ditawarkan.

"Ia disebabkan beberapa perkara yang tak dapat dielakkan khususnya akibat daripada keperluan baru, maka kerajaan buat penambahbaikan bagi membina satu lapangan terbang yang lebih besar dan lebih baik," katanya pada persidangan Dewan Rakyat di sini, Isnin.

Beliau menjawab pertanyaan Tony Pua (DAP-Petaling Jaya Utara) yang ingin mengetahui mengenai anggaran kos terkini pembinaan KLIA2.

Menjelas lanjut Abdul Rahim yang juga Ahli Parlimen Kudat berkata, berdasarkan keperluan masa depan, kerajaan menerusi Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) mengambil keputusan untuk memperbesarkan saiz lapangan terbang tersebut daripada perancangan asal.

"Ia bagi memenuhi beberapa keperluan antaranya untuk mengadakan kawalan keselamatan yang lebih baik, menambah kepada 45 juta kapasiti penumpang, mewujudkan sistem pengurusan bagasi automatik serta menyediakan satu lagi landasan sejauh empat kilometer," katanya.

Dalam pada itu Abdul Rahim berkata KLIA2 dijangka siap pada April tahun depan berdasarkan komitmen yang diberikan oleh kontraktor terlibat.

"Setakat 13 September lalu, status kemajuan projek KLIA2 adalah 61.92 peratus. Ia mengikut jadual dan dijangka siap April 2013," katanya.

Artikel Lain