suria

Kes Syabas Tuntut Pampasan Daripada Kerajaan Selangor Didengar 30 Oktober Ini

PUTRAJAYA: Kes saman Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas), yang menuntut pampasan RM1.05 bilion daripada kerajaan negeri Selangor berkaitan isu tarif air, akan didengar di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 30 Oktober ini berasaskan formula RM1.89/meter padu.

Mahkamah Rayuan membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan kerajaan negeri Selangor terhadap perintah Mahkamah Tinggi pada 29 Mei lepas, yang membenarkan Syabas meminda penyataan tuntutan. Pada mulanya, penyataan tuntutan Syabas mendakwa pampasan itu perlu dikira berdasarkan formula RM1.89/meter padu, namun kemudian memohon untuk meminda jumlah tersebut kepada RM1.82 atau RM1.80/meter padu seperti yang terkandung dalam perjanjian konsesi air antara plaintif dan defendan.

Keputusan itu dibuat panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Datuk Ramly Ali, yang sebulat suara membenarkan rayuan kerajaan negeri Selangor.

Hakim Ramly juga memerintahkan Syabas membayar kos RM10,000 kepada defendan.

Panel itu turut dianggotai Hakim Datuk Lim Yee Lan dan Datuk Rohana Yusuf.

Syabas memfailkan saman itu pada 10 November tahun lepas untuk memohon deklarasi bahawa kerajaan negeri Selangor berhutang sebanyak RM1.05 bilion dengan syarikat tersebut selepas enggan menaikkan tarif air.

Syabas juga memohon kerajaan negeri Selangor membayar pampasan itu dengan faedah 4 peratus setahun mulai 10 November 2010 sehingga kes tersebut selesai.

Syarikat itu menamakan kerajaan negeri Selangor sebagai defendan manakala kerajaan Malaysia dinamakan sebagai pihak ketiga dalam saman tersebut.

Dalam penyataan tuntutan, Syabas mendakwa berdasarkan perjanjian pada 15 Disember 2004 dengan kerajaan Malaysia dan kerajaan negeri Selangor, syarikat itu diberi konsesi membeli air terawat daripada pengusaha rawatan air dan membekalkannya kepada kawasan pengagihan mengikut terma yang dipersetujui dalam perjanjian berkenaan. Syabas mendakwa kerajaan negeri Selangor gagal memaklumkan syarikat itu sama ada ia bersetuju atau tidak untuk meningkatkan tarif yang diwartakan kepada tarif yang dipersetujui.

Ia juga mendakwa syarikat itu menghantar beberapa pucuk surat lagi kepada defendan bagi menuntut pampasan selaras dengan perjanjian konses, namun gagal mendapat sebarang jawapan yang memuaskan daripada kerajaan negeri Selangor.

Dalam penyataan pembelaan, kerajaan negeri Selangor melalui Setiausaha Kerajaan Negeri ketika itu, Datuk Ramli Mahmud, yang mendakwa saman Syabas adalah satu penyalahgunaan proses mahkamah, berkata industri air menjalani penstrukturan semula sebagaimana yang dikehendaki Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 dan Akta Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara.

Pada prosiding hari ini, kerajaan negeri Selangor diwakili peguam Malik Imtiaz Sarwar dan Fahda Nur Ahmad Kamar manakala Syabas oleh Datuk Harpal Singh Grewal.

Peguam Kanan Persekutuan Mohd Radhi Abas mewakili kerajaan Malaysia. -BERNAMA

Artikel Lain