suria

Kerajaan Tolak Syor PSC Pindah SPR Ke Parlimen

KUALA LUMPUR: Kerajaan menolak syor Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) bagi penambahbaikan sistem pilihan raya agar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bertanggungjawab terus kepada Parlimen.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, SPR yang ditubuhkan berdasarkan Perlembagaan Persekutuan merupakan sebuah institusi di bawah Yang di-Pertuan Agong yang bertanggungjawab memelihara, mengawasi dan mengekalkan proses demokrasi negara.

Jelas beliau, tidak timbul soal cadangan agar SPR dipindahkan daripada Jabatan Perdana Menteri kepada Parlimen bagi mengukuhkan badan bebas itu.

"Jabatan Perdana Menteri hanya bertanggungjawab dalam hal ehwal pentadbiran harian dan pengurusan semasa SPR.

"Jadi tak berbangkitlah soal untuk pengukuhan SPR, kita nak pindahkan tanggungjawab daripada Jabatan Perdana Menteri kepada Parlimen. Mereka dipertanggungjawabkan terus kepada Yang di-Pertuan Agong," katanya pada persidangan Dewan Rakyat di sini, Isnin.

Beliau menjawab soalan Chow Kon Yeow (DAP-Tanjong) yang ingin mengetahui sama ada kerajaan akan melaksanakan syor PSC agar SPR bertanggungjawab terus kepada Parlimen.

Cadangan berkenaan terkandung dalam 32 syor PSC yang diluluskan Dewan Rakyat pada 1 Disember 2011 dan 3 April lalu.

Bagaimanapun Mohamed Nazri berkata, SPR akan mengkaji dengan lanjut syor pengukuhan tersebut untuk dilaksanakan pada masa akan datang.

Artikel Lain