suria

Kemungkinan Dua Kereta Sport Berlumba Sebelum Kemalangan - Polis

KUANTAN: Polis tidak menolak kemungkinan bahawa dua buah kereta sport yang terbabit dalam kemalangan ngeri yang meragut empat nyawa di Jalan Haji Ahmad 1, di sini Ahad berlumba sebelum terbabas.

Ketua Polis Daerah Kuantan, ACP Mohd Jasmani Yusoff berkata, berdasarkan keterangan orang awam dan siasatan awal, terdapat kemungkinan pemandu kereta Nissan GTR dan Nissan Skyline itu berlumba sesama sendiri sebelum bergesel dan terbabas serta merempuh pokok.

"Kita masih lagi menyiasat kes berkenaan dan laporan kimia sama ada pemandu kereta terbabit berada di bawah pengaruh alkohol atau dadah," katanya ketika dihubungi di sini, Isnin.

Dalam kejadian 4.00 pagi semalam, empat maut termasuk seorang wanita warga China manakala dua parah. Mereka yang maut ialah pemandu Nissan GTR, Tan Kah Yong, 24; dan penumpangnya, Bao Shanshan, 26; manakala dua yang lain ialah pemandu Nissan Skyline, Go Haw Wei, 20; dan penumpangnya, Koay Khor Liang, 21.

Mohd Jasmani berkata dua yang parah ialah wanita warga China iaitu Wei Lidong, 27, dan Chang Hong Nei, 36, yang kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan dan dilaporkan stabil. "Kedua-dua wanita tersebut kini dilaporkan stabil walaupun kecederaan mereka agak parah akibat kemalangan ngeri itu," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain