suria

Kementerian Tangani Masalah Kesihatan Mental Libatkan Remaja

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan memandang serius trend peningkatan masalah kesihatan mental di kalangan kanak-kanak dan remaja berusia 15 tahun ke bawah di negara ini, kata Menterinya Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Beliau berkata statistik menunjukkan masalah kesihatan mental melibatkan golongan itu meningkat 13 peratus pada 1996, 19.4 peratus pada 2006 dan 20 peratus tahun lalu.

"Kita amat bimbang dengan trend peningkatan masalah kesihatan mental remaja dan kanak-kanak kerana ia dikhuatiri boleh membantutkan proses pembangunan kerana golongan ini merupakan aset negara," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia Peringkat Kebangsaan 2012 di sini, Ahad.

Beliau menarik perhatian bahawa golongan remaja dan kanak-kanak kini dipengaruhi Internet dan teknologi komunikasi sehingga kurang berinteraksi manakala ibu bapa yang sibuk bekerja pula memandang ringan peranan mereka dalam memberi sokongan kepada anak-anak.

Justeru, Liow berkata kementeriannya akan berusaha menangani masalah itu termasuk dengan penyediaan pelan tindakan strategik kebangsaan bagi kesihatan mental serta langkah menambah bilangan Pusat Komuniti Kesihatan Mental di seluruh negara mulai tahun hadapan.

Beliau berkata pelan itu antara lain menekankan aspek promosi kesihatan mental dan kerjasama pintar antara pelbagai agensi serta penglibatan badan bukan kerajaan.

Menurutnya, langkah membuka lebih banyak Pusat Komuniti Kesihatan Mental akan membolehkan pesakit menerima rawatan dalam suasana lebih mesra dan berbeza daripada perkhidmatan kesihatan mental yang terdapat di hospital.

Liow berkata pusat berkenaan menawarkan khidmat seperti terapi psikologi, kaunseling dan maklumat pendidikan kesihatan di samping meningkatkan potensi pesakit dalam komuniti.

Pusat Komuniti Kesihatan Mental pertama negara dilancarkan di Presint 11 Putrajaya tahun lalu. BERNAMA

Artikel Lain