suria

Dua Wanita Maut Nahas Jalan Raya Dekat Rompin

KUANTAN: Dua maut manakala dua lagi parah dalam nahas jalan raya membabitkan dua kereta di Km 23 Jalan Pekan-Nenasi dekat Rompin, petang Ahad.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Pahang Supt Mohamed Fauzi Abdul Rahim berkata mereka yang terbunuh ialah Siti Rahmah Roman, 26 yang mengandung lapan bulan dan wanita warga emas Nah Yasin, 72.

Kejadian berlaku 5.30 petang apabila kereta jenis Proton Iswara yang dinaiki tiga sekeluarga bertembung dengan Proton Waja yang dinaiki empat sekeluarga, katanya kepada pemberita, di sini Ahad.

Siti Rahmah dari Kuala Rompin merupakan penumpang hadapan kereta Proton Saga, manakala Nah pula dari Jengka 13, Bandar Jengka penumpang belakang Proton Waja.

Mohamed Fauzi berkata akibat pertembungan itu, Nah maut di tempat kejadian akibat terjerut tali pinggang keledar yang dipakainya, manakala Siti Rahmah meninggal dunia akibat parah di kepala dan badan. Katanya mangsa yang parah merupakan penumpang hadapan Proton Waja, Ainun Che Musa, 44, dan pemandu Proton Iswara, Zulkefli Kamaruddin, 27, manakala tiga lagi mangsa yang terlibat dalam kejadian tersebut hanya cedera ringan.

"Semua mangsa yang maut dan cedera dibawa ke Hospital Pekan untuk bedah siasat serta menerima rawatan lanjut," katanya.

Sementara itu, beliau berkata seorang buruh maut selepas motosikal yang ditunggangnya terbabas ke bahu jalan dan terhumban ke dalam longkang.

Menurut Mohamed Fauzi, mangsa yang juga warga Indonesia, Erwin Saiful Bakti, 22, dari Triang disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di muka selain patah leher dalam kejadian 8.45 pagi di Km 2 Jalan Simpang kerayong-Mayam dekat Bera.

Katanya siasatan awal mendapati mangsa tidak memakai topi keledar dan tidak memiliki lesen memandu yang sah ketika kejadian.

"Kedua-dua kes berkenaan kini disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya. BERNAMA

Artikel Lain