suria

BN P. Pinang Gesa Semua Pihak Hentikan Politik Ganas

GEORGE TOWN: Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang menggesa semua pihak agar menghentikan segala bentuk amalan politik yang menjurus ke arah keganasan.

Pengerusinya Teng Chang Yeow berkata pihaknya bimbang amalan sedemikian akan menular sehingga menyebabkan kecederaan kepada individu dan menjejaskan keharmonian masyarakat.

"Perbuatan menakut-nakutkan orang dengan merosakkan harta milik persendirian tidak mencerminkan budaya politik Malaysia namun kebelakangan ini ia menjadi begitu popular...dulu mereka hanya buat pada harta milik parti sahaja," katanya kepada pemberita di sini, Isnin.

Beliau mengulas insiden kereta Ketua Pemuda BN negeri Oh Tong Keong disimbah cat merah manakala cermin bahagian depan dan belakang dipecahkan individu tidak dikenali petang Ahad.

Kejadian itu berlaku di tempat letak kereta pejabat Persatuan Bekas Pelajar Sekolah Penang Free, Jalan Sultan Ahmad Shah di sini, kira-kira pukul 3.10 petang ketika Oh sedang berbincang mengenai program parti di sebuah restoran berhampiran bersama dua rakannya.

Teng berkata perbuatan itu jelas bermotifkan politik kerana setelah diselidik dengan teliti, Oh tidak pernah bermusuh dengan sesiapa termasuk dalam urusan perniagaan peribadinya.

"Mungkin ia ada kaitan dengan pembongkaran beberapa isu yang berlaku di negeri ini. Bagaimanapun kita tidak menuduh mana-mana pihak kerana perbuatan itu boleh dilakukan sesiapa sahaja," katanya.

Rabu lepas, Oh mengetuai beberapa pemimpin komponen Pemuda BN negeri menyerahkan wang berjumlah RM224,073 kepada kerajaan Pulau Pinang untuk membeli tanah Taman Manggis dekat Jalan Zainal Abidin bagi dimajukan dengan projek rumah rakyat miskin.

Pada hari berikutnya, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng meminta baki bayaran berjumlah RM22,183,227 dijelaskan BN dalam tempoh 30 hari bagi menyelesaikan proses jual beli tanah seluas 0.445 hektar itu.

Pada 7 September lepas, bahagian hadapan trak serbaguna BN negeri yang diletakkan di pekarangan Ibu Pejabat Gerakan di Jalan Macalister turut disimbah cat merah diikuti dengan insiden pintu hadapan Pusat Khidmat Parti Gerakan Pulau Tikus dibaling beberapa biji telur dan disimbah air kopi pada 17 September. -BERNAMA

Artikel Lain