suria

Berhati-hati Kecurian Semasa Majlis Perkahwinan

MUAR: Polis menasihati orang-ramai agar berhati-hati dengan kejadian kecurian yang semakin menjadi-jadi ketika majlis perkahwinan sedang dilangsungkan.

Ketua Polis Muar, Asisten Komisioner Mohammed Nasir Ramli berkata, sudah dua insiden yang serupa berlaku di sini pada Sabtu lalu.

Kes pertama katanya, berlaku pada satu majlis kenduri kahwin di Jalan Datuk Haji Kosai dan satu lagi di Kampung Pesta dekat Jalan Bakri.

Dalam kejadian yang pertama, tiga wanita yang menyamar sebagai tetami telah memasuki bilik pengantin ketika semua orang sedang sibuk menguruskan kenduri di luar rumah.

Mereka telah mencuri sebuah beg yang mengandungi RM7,000 milik pengapit pengantin perempuan.

ACP Mohammed Nasir menambah, kehilangan wang tersebut hanya disedari selepas pengapit pengantin masuk ke bilik untuk mengambil begnya pada jam 3.30 petang dan mendapati ia telah tiada.

Katanya, terdapat saksi yang nampak tiga wanita telah memasuki bilik pengantin tetapi menyangka yang mereka adalah saudara mara pihak pengantin dan oleh yang demikian tidak mengesyaki apa-apa.

Dalam insiden yang kedua pula, tiga orang wanita juga yang turut menyamar sebagai tetamu pada majlis kahwin di Kampung Pesta, juga dilihat memasuki bilik pengantin perempuan.

Kali ini, mereka bukan sahaja mencuri beg kepunyaan mak andam tetapi turut mencuri beberapa barang berharga yang lain.

Oleh yang demikian beliau menasihati orang ramai agar lebih berhati-hati dengan modus operandi pencuri-pencuri ini dan memastikan barang berharga mereka disimpan di dalam kawasan yang selamat dan pintu sentiasa dikunci sekiranya tidak ada sesiapa yang mengawasinya dari dalam.

Artikel Lain