suria

IAACA Akui Keseriusan Malaysia Banteras Rasuah

KUALA LUMPUR: Pihak Berkuasa Pencegahan Rasuah Antarabangsa (IAACA) memperakui keseriusan usaha kerajaan Malaysia dalam memerangi amalan rasuah.

Naib Presidennya, Dr Eduardo Vetere berkata Malaysia sedang melakukan usaha baik menerusi inisiatif Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) bagi mencegah dan mengurangkan rasuah.

Dengan kerajaan memberi keutamaan kepada isu rasuah dalam Program Transformasi Kerajaan (GTP), beliau berkata ia menunjukkan penglibatan serius kerajaan dalam hal tersebut.

"Melalui penubuhan institusi seperti Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), IAACA boleh melihat kerajaan dan agensinya terlibat sepenuhnya dalam transformasi Malaysia ke arah mencegah rasuah dan amat serius dalam membanteras gejala ini," katanya.

Vetere berkata demikian di luar Konvensyen IAACA Keenam di sini, Sabtu.

Menyifatkan usaha memerangi rasuah sebagai proses perubahan budaya berterusan, beliau berkata ia akan memerlukan pelaburan yang besar dari segi masa, sumber dan kewangan untuk melihat hasilnya.

Menurutnya, hanya dengan mengubah undang-undang sahaja tidak akan menyelesaikan masalah tetapi ia boleh dianggap sebagai salah satu langkah yang baik dalam memerangi rasuah.

Beliau berkata yang paling utama adalah dengan mendapatkan sokongan penuh dan padu daripada masyarakat selain mempunyai anggota polis dan hakim yang baik dalam melaksanakan undang-undang yang sudah disediakan.

"Jika saya seorang rakyat biasa dan saya tahu sesuatu berkaitan dengan rasuah dan gagal untuk melaporkan kepada polis maka ia adalah mustahil untuk menangani isu ini," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain