suria

Penyelia, Pengawal Keselamatan Dituduh Rompak RM1.23 Juta, Lepaskan Tembakan

TAIPING: Seorang penyelia syarikat swasta dan seorang pekerja syarikat keselamatan pada Jumaat dihadapkan ke Mahkamah Majistret terhadap pertuduhan merompak RM1.23 juta dan melepaskan tembakan sehingga menyebabkan kematian seorang pemandu van pada 18 Sept lepas.

Cheah Cheong Tatt, 23, dan Mohd Hafizuddin Zainal Abidin, 25, didakwa dengan niat bersama merompak RM1,235,715 milik Safeguards G4S Sdn Bhd dan melepaskan tembakan dari senjata api dalam kejadian rompakan itu di hadapan pasaraya Giant, Jalan Tekah, Aulong di sini antara 2.20 petang dan 3.25 petang, 18 Sept lepas.

Mereka dituduh melepaskan tembakan itu dengan niat hendak menyebabkan kematian kepada Hasnul Hafis Saad, 28, yang merupakan pemandu van syarikat keselamatan itu yang membawa wang tunai berkenaan.

Cheah dan Mohd Hafizuddin didakwa mengikut Seksyen 3, Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan dibaca bersama Seksyen 34, Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada kedua-dua mereka selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Solehah Noratikah Ismail.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 6 Dis ini untuk sebutan semula kes itu bagi pihak pendakwaan mendapatkan laporan bedah siasat dan dokumen berkaitan.

Cheah dari Kulim, Kedah diwakili peguam C.P. Ang manakala Mohd Hafizuddin dari Sungai Siput, Perak tidak diwakili peguam bela. Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Shafiq Hasim. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain