suria

Pengarah Urusan Kumpulan DRB-Hicom Bakal Dilantik Pro-Canselor UMP

PAHANG: Konvokesyen ketujuh bagi Universiti Malaysia Pahang (UMP) yang akan berlangsung pada 13 dan 14 Oktober ini bakal mencatat sejarah apabila menyaksikan pelantikan Pengarah Urusan Kumpulan DRB-Hicom, Datuk Mohd Khamil Jamil sebagai Pro- Canselor universiti itu yang pertama.

Naib Canselor UMP, Profesor Datuk Dr Daing Nasir Ibrahim dalam satu kenyataan pada Sabtu berkata, seramai 2072 graduan Universiti Malaysia Pahang (UMP) bakal menerima ijazah dan diploma masing-masing pada Majlis Konvokesyen Ke-7 UMP di Kompleks Sukan UMP di Gambang.

Katanya, majlis konvokesyen yang berlangsung dengan tiga sesi itu melibatkan seramai 18 lulusan Doktor Falsafah, 46 graduan Ijazah Sarjana, 1346 graduan Ijazah Sarjana Muda dan 662 graduan Diploma yang merupakan catatan tertinggi bilangan graduan sejak penubuhan UMP pada 10 tahun lalu.

"Canselor UMP, Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Ahmad Shah Al-Musta’in Billah akan bercemar duli mengurniakan ijazah kepada graduan pada sesi pertama Majlis Konvokesyen ini," katanya.

Dr Daing Nasir berkata, sesi pertama konvokesyen melibatkan graduan dari Fakulti Kejuruteraan Pembuatan (56), Fakulti Teknologi (141), Fakulti Sains & Teknologi Industri (57) dan Fakulti Kejuruteraan Kimia & Sumber Asli (304).

"Bagi sesi kedua pula melibatkan graduan Fakulti Kejuruteraan Awam & Sumber Alam (284), Fakulti Kejuruteraan Elektrik & Elektronik (229), Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (277) dan Fakulti Sistem Komputer & Kejuruteraan Perisian (252) yang akan disampaikan Pro-Canselor UMP," katanya.

Beliau menambah, pada hari kedua melibatkan 472 graduan dari Pusat Pengajian Berterusan & Pembangunan Profesional (CENFED) akan menerima diploma yang disampaikan Pengerusi Lembaga Pengarah UMP, Datuk Mohd Hilmey Mohd Taib.

Bersempena konvokesyen dan sambutan 10 tahun, UMP menjemput orang ramai untuk menghadiri Karnival Expoconvo `12 yang cukup meriah seperti Cabaran Malaysia Book of Records Kayuhan 111 jam tanpa henti, program bicara bicara, program khidmat masyarakat, ceramah kerjaya, senamrobik, pertunjukan seni dan gerai jualan mulai 6 hingga 14 Oktober.

Perasmian Expoconvo `12 bakal disempurnakan Pengarah Urusan Perodua, Datuk Aminar Rashid Salleh yang juga ahli Lembaga Pengarah UMP pada 10 Oktober ini.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain