suria

Warga Kemboja Tidak Mengaku Anak, Elak Pemeriksaan Imigresen

MELAKA: Seorang warga Kemboja tidak mengaku seorang kanak-kanak perempuan sebagai anaknya bagi mengelak pemeriksaan imigresen.

Tukang jahit berumur 40 tahun itu sebaliknya mengaku kanak-kanak berumur enam tahun itu sebagai kanak-kanak warga Malaysia yang ditumpangkan di rumahnya di Tanjung Minyak, dalam pemeriksaan di sini awal pagi Jumaat.

Pengarah Imigresen Melaka, Kamalludin Ismail berkata namun selepas disoal siasat dalam operasi pada pukul 1.30 pagi itu, lelaki berkenaan akhirnya mengaku kanak-kanak tersebut merupakan anaknya.

"Kanak-kanak tersebut memanggil lelaki berkenaan dengan panggilan ayah namun dinafikan olehnya sebelum kita menyoal rakannya yang lain yang turut ditahan," katanya kepada pemberita di sini, Jumaat.

Beliau berkata lelaki tersebut tidak mempunyai dokumen sah dan dipercayai menafikan dia sebagai bapa kanak-kanak tersebut kerana mahu melindungi anaknya yang turut tidak mempunyai dokumen.

Kamalludin berkata pihaknya turut menahan tujuh wanita, empat lelaki dan dua kanak-kanak Kemboja di kawasan perumahan itu.

"Seorang daripada lelaki tersebut yang berusia 56 tahun ditahan kerana menjadi pelindung kepada yang lain," katanya.

Beliau berkata ketibaan imigresen di kawasan perumahan tersebut, kenderaan mereka telah dibaling dengan plastik sampah oleh penunggang motosikal yang kemudianya melarikan diri.

Beliau berkata operasi selama 10 jam yang bermula 4 petang semalam itu turut dilakukan di tiga lokasi lain iaitu dua buah kedai makan di Jalan Temenggong dan Taman Bertam Ria serta sebuah kedai runcit di Pantai Puteri Tanjung Kling.

Kamalludin berkata secara keseluruhan, kesemua 19 orang warga asing berusia antara dua hingga 56 tahun ditahan atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 termasuk dengan sengaja memberi perlindungan kepada warganegara asing yang melakukan kesalahan. BERNAMA

Artikel Berikut

14 Pati Ditahan Polis Marin

Artikel Lain