suria

Unit Ronda Tabung Haji Selamatkan 186 Jemaah Sesat

MAKKAH: Unit Khidmat Pelanggan Tabung Haji "menyelamatkan" 186 jemaah haji Malaysia yang dilapor tersesat selepas menunaikan ibadat di Masjidil Haram.

Pengurus Unit Khidmat Pelanggan Tabung Haji Rahmat Baba berkata jumlah itu dicatatkan sejak ketibaan kumpulan pertama jemaah di Mekah pada 26 Sept lepas sehingga 2 Okt.

Jemaah yang tersesat itu kebiasaannya merupakan mereka yang baru sampai ke Mekah atau melibatkan jemaah yang berusia 60 tahun ke atas, katanya kepada wakil media Malaysia, di sini pada Jumaat.

"Kita juga berterima kasih kepada jemaah haji Malaysia yang muda kerana membantu jemaah yang sudah berusia ini.

"Tabung Haji mempunyai pasukan peronda yang turut bekerjasama dengan pasukan peronda dari India, Indonesia dan dari negara lain untuk membantu jemaah haji negara masing-masing yang tersesat," katanya. Katanya rata-rata jemaah haji Malaysia mengalami insiden 'tersesat' apabila gagal mencari jalan untuk pulang ke hotel penginapan masing-masing.

Beliau berkata kadar itu "meninggi" selepas solat Zohor ketika suhu sangat tinggi dan menyebabkan jemaah mengalami gangguan orientasi.

Pasukan peronda Tabung Haji terdiri daripada 13 orang dan bertugas selama 24 jam di tempat-tempat strategik di Masjidil Haram. BERNAMA

Artikel Berikut

14 Pati Ditahan Polis Marin

Artikel Lain