suria

Suri Rumah Jual Nombor Ekor Haram Ditahan

KUANTAN: Seorang suri rumah yang dipercayai tauke loteri haram diberkas di rumahnya di Kampung Sungai Penjuring dekat Bentong petang Rabu.

Semasa intipan dibuat, wanita berusia 51 tahun itu dikatakan sedang sibuk menulis sesuatu dipercayai catatan loteri haram.

Menurut Pegawai Urusetia Jabatan Siasatan Jenayah Pahang ASP Noor Asyikin Shamsuri, polis menyerbu dan mengepung rumah berkenaan kira-kira 5.45 petang sebelum mengarahkannya membuka pintu.

"Ketika polis memperkenalkan diri, wanita terbabit cuba melarikan diri ke belakang rumah namun dia berjaya ditahan.

"Hasil pemeriksaan, polis menemui 89 helai kertas yang tercatat nombor ekor haram selain turut merampas sebuah mesin kira dan telefon bimbit," katanya di sini, Khamis.

Noor Asyikin berkata polis juga menemui wang tunai berjumlah RM830 yang dipercayai hasil daripada aktiviti jual beli nombor ekor haram terbabit.

Katanya wanita berkenaan dan barangan yang dirampas itu kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Bentong bagi membantu siasatan berhubung kejadian itu.

"Siasatan awal mendapati, wanita berkenaan dipercayai sudah terbabit dalam kegiatan haram itu sejak beberapa bulan lalu selain menjadikan rumahnya sebagai markas untuk berurusan jual beli nombor ekor haram," katanya.

Beliau berkata polis masih meneruskan siasatan berhubung kejadian terbabit mengikut Seksyen 4A (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953. - BERNAMA

Artikel Berikut

14 Pati Ditahan Polis Marin

Artikel Lain