suria

Sistem Bomba Efektif Selamatkan New Central Mall Daripada Kebakaran Serius

KUALA LUMPUR: Pemasangan sistem kebombaan yang efektif menyelamatkan bangunan New Central Mall yang sedang dalam pembinaan di Jalan Tun Sambathan di sini yang terbakar awal pagi Jumaat daripada kemusnahan lebih serius.

Kebakaran pada kira-kira pukul 2.30 pagi itu membabitkan stor sementara yang menyimpan peralatan keselamatan untuk aktiviti pembinaan di tingkat bawah bangunan setinggi tujuh tingkat yang hampir 80 peratus masih dalam proses pembinaan itu.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur (JBPMKL) Khiruddin Derahman berkata sistem perenjis air atau sprinkler yang berfungsi dengan sempurna, kedudukan pili bomba yang strategik serta pengasingan bahan mudah terbakar memastikan kebakaran di stor itu dapat dikawal dengan pantas.

"Tiada peralatan mudah terbakar disimpan di stor itu, namun keadaan stor yang tertutup dan tekanan haba yang tinggi telah mencetuskan kebakaran kepada peralatan pembinaan yang lain.

"Selain tindakan pantas pengawal keselamatan menghubungi bomba, kami juga memuji pengendali bangunan yang menitikberatkan soal keselamatan dengan memasang sistem kebombaan yang baik pada bangunan," katanya pada sidang media di pejabatnya di sini, Jumaat.

Khiruddin berkata enam jentera bomba dari balai berdekatan dengan kekuatan 49 anggota termasuk pasukan bomba sukarela digerakkan ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan pada 2.35 pagi dan api berjaya dikawal sejam kemudian.

"Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan punca serta jumlah kerugian masih disiasat," katanya. BERNAMA

Artikel Berikut

14 Pati Ditahan Polis Marin

Artikel Lain