suria

Perlis Bersiap Sedia Hadapi Banjir - MB

KANGAR: Perlis sudah membuat persiapan menghadapi kemungkinan banjir berikutan musim tengkujuh sudah bermula, kata Menteri Besar Datuk Seri Dr Md Isa Sabu.

Beliau berkata persiapan itu termasuk mewujudkan pusat pemindahan dan menyediakan bekalan makanan yang mencukupi untuk keperluan mangsa banjir.

"Setakat ini, belum ada yang dipindahkan walaupun beberapa kawasan rendah telah dinaiki air," katanya kepada pemberita selepas bertemu penduduk yang terbabit dengan pelaksanaan projek Tebatan Banjir Lencongan Barat, Jumaat.

Menteri Besar berkata banjir kilat pagi ini adalah disebabkan hujan lebat mencecah 121 milimeter sejak 12 malam semalam hingga 8 pagi tadi, ditambah pula air pasang di Sungai Perlis selain longkang dan parit di kawasan tertentu yang tersumbat.

Bagaimapun, katanya, hujan sejak kebelakangan ini tidak mengakibatkan air Empangan Timah Tasoh dialir keluar kerana masih di bawah paras berjaga-jaga.

Mengulas perjumpaan hari ini, Md Isa berkata ia bertujuan mendengar pandangan serta cadangan penduduk yang terlibat dengan projek tebatan banjir yang membabitkan kawasan Dewan Undangan Negeri Beseri, Bintong dan Kuala Perlis.

Beliau berkata projek bernilai RM260 juta melalui peruntukan kerajaan pusat itu akan membabitkan pembinaan terusan buangan air dari Empangan Timah Tasoh ke Kuala Perlis sejauh 22 kilometer.

Katanya, mereka yang hadir mengemukakan pelbagai cadangan terutama bagi mengelak pengambilan tanah seperti saranan menggunakan empat sungai sedia ada bagi tujuan membuang limpahan air ke laut.

Perjumpaan itu dikendalikan Timbalan Ketua Pengarah Biro Pengaduan Awam Azlan Man dan turut dihadiri Anggota Parlimen Kangar Datuk Seri Mohd Radzi Sheikh Ahmad, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Koperasi Negeri Sabry Ahmad serta ketua jabatan yang berkaitan. BERNAMA

Artikel Berikut

14 Pati Ditahan Polis Marin

Artikel Lain