suria

Pembangkang Sengaja Jadikan Isu Majlis Kahwin Anak Saya – Mohd Ali

MELAKA: Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata pihak pembangkang di negeri ini sengaja menjadikan jumlah kehadiran 130,000 tetamu pada majlis persandingan anak lelakinya di sini Ahad lepas, sebagai isu.

Beliau berkata kehadiran ramai tetamu pada majlis itu memperlihatkan tanda sokongan di kalangan penyokong Barisan Nasional mahupun rakyat biasa terhadap beliau. "Ini semata-mata sifat dengki (oleh pembangkang), mereka tiada kerja lain (bagi menimbulkan isu), terserah ...," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Bank Persatuan Cawangan Melaka di Kota Fesyen, Ayer Keroh di sini, Khamis.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tuntutan pemimpin pembangkang Melaka agar beliau mengisytiharkan segala perbelanjaan untuk penganjuran majlis persandingan itu.

Majlis tersebut juga diiktiraf The Malaysia Book of Records sebagai tetamu teramai dalam majlis perkahwinan antara Mohd Ridhwan, 26, dan pasangannya Nur Azieha Mohd Ali, 26, di Dewan Tun Ali Bukit Katil.

Beliau secara berseloroh berkata kehadiran tetamu akan lebih ramai sekiranya majlis persandingan itu untuk bapa pengantin lelaki.

"Kalau saya yang kahwin...lebih ramai lagi yang akan hadir," katanya sambil tersenyum. BERNAMA

Artikel Berikut

14 Pati Ditahan Polis Marin

Artikel Lain