suria

Manfaat Hari Terbuka Kementerian Pelajaran Untuk Beri Pandangan –Puad Zarkashi

MARAN: Masyarakat diminta memanfaatkan sepenuhnya Hari Terbuka Kementerian Pelajaran yang akan dianjur mengikut zon bulan ini untuk memberi pandangan berhubung sistem pendidikan negara.

Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi berkata kementerian itu akan menggunakan forum tersebut untuk mengumpul input Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013 sebelum dibentang ke Kabinet pada Disember ini.

"Kita memberi ruang kepada rakyat, badan bukan kerajaan dan pihak berkepentingan lain termasuk parti pembangkang untuk beri pandangan masing-masing," katanya kepada pemberita selepas Majlis Mesra Anak Yatim Sekolah Menengah dan Rendah Daerah Maran, di sini, Jumaat.

Katanya dasar pendidikan negara memerlukan transformasi kerana keupayaan dan kebolehan daya berfikir pelajar masih lemah dan jauh ketinggalan berbanding negara lain di rantau Asia.

Berdasarkan keupayaan pelajar negara ini menjawab soalan tidak berkaitan peperiksaan dalam Program Penilaian Pelajar Antarabangsa baru-baru ini, Malaysia menduduki tangga ke-55 dari 77 negara yang mengambil bahagian, katanya.

Malah kata Puad, kedudukan negara jauh ketinggalan berbanding pelajar China, Hong Kong dan Singapura.

Beliau berkata keupayaan berfikir pelajar di negara ini dikategori lemah kerana sistem pendidikan lebih ke arah peperiksaan. BERNAMA

Artikel Berikut

14 Pati Ditahan Polis Marin

Artikel Lain