suria

Malaysia Di Landasan Betul Memerangi Rasuah – Idris Jala

KUALA LUMPUR: Malaysia berada di landasan betul dalam mewujudkan "halangan dan pencegahan' asas dalam memerangi rasuah, kata Ketua Pegawai Eksekutif Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) Datuk Seri Idris Jala.

Berucap pada konvensyen Persatuan Pihak Berkuasa Antirasuah Antarabangsa (IAACA) di sini hari ini, beliau berkata inisiatif itu, antara lain, ialah pengenalan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat, penubuhan 14 Mahkamah Khas Rasuah dan penyiaran nama pesalah rasuah di laman web Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Inisiatif lain ialah usaha menambahbaik Kerangka Pembiayaan Politik, pengurangan 52 peratus lesen perniagaan tidak perlu; Ikrar Integriti Korporat; penyiaran kontrak kerajaan secara online; pemeteraian 132,459 perjanjian integriti dan inisiatif-inisiatif dalam laporan Ketua Audit Negara, katanya.

Idris, yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata hasil daripada inisiatif-inisiatif yang dilaksanakan Malaysia amat menggalakkan berdasarkan kajian bebas yang dijalankan oleh Institut Integriti Malaysia, Frost & Sullivan dan Price Waterhouse Coopers.

Beliau berkata Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Malaysia mengenai rasuah telah terbukti efektif dan oleh itu, berkongsi maklumat berkenaan dalam konvensyen seperti IAACA akan memberi manfaat kepada usaha memerangi rasuah global.

"Kami memperkenalkan tujuh NKRA di bawah Program Transformasi Kerajaan (GTP) untuk fokus kepada apa yang rakyat mahu," katanya.

Hasilnya "barometer rasuah' (CB) Malaysia telah berubah daripada 48 peratus pada 2010 kepada 49 peratus tahun lepas. BERNAMA

Artikel Berikut

14 Pati Ditahan Polis Marin

Artikel Lain