suria

Kes Ragut: Ahli Perniagaan Wanita Kerugian RM30 Ribu Di Kuantan

KUANTAN: Seorang wanita yang ingin bertemu seorang rakan atas urusan perniagaan di depan sebuah sekolah di sini, kerugian RM30,000 selepas wang tunai yang diletak di kerusi penumpang depan keretanya dilarikan seorang peragut bermotosikal.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan Superintenden Abdul Aziz Ahmad berkata mangsa, 20-an, seorang ahli perniagaan sebelum itu mengeluarkan wang tunai berkenaan di sebuah bank di Jalan Beserah.

"Mangsa kemudian memandu ke Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Pei Chai dekat sini untuk bertemu rakannya itu," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

Ketika menunggu rakannya di dalam kereta, mangsa dihampiri seorang suspek yang bertindak memecahkan cermin di bahagian penumpang depan.

Abdul Aziz berkata kejadian 1.10 tengah hari semalam itu turut disaksikan orang ramai yang sedang menunggu anak mereka pulang dari sekolah berkenaan.

"Mangsa dipercayai diekori suspek yang sebelum itu mengeluarkan sejumlah wang tunai dari bank, sebaik sahaja mencapai beg yang berada atas kerusi penumpang, suspek terbabit kemudian melarikan diri menuju ke arah rakannya yang sedang menunggu.

"Kedua-dua suspek lelaki itu melarikan diri dengan sebuah motosikal," katanya.

Abdul Aziz berkata mangsa kemudian membuat laporan berhubung kejadian itu di Balai Polis Indera Mahkota.

"Kes itu disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri," katanya. BERNAMA

Artikel Berikut

14 Pati Ditahan Polis Marin

Artikel Lain