suria

Kebolehpasaran Graduan Harus Langkaui Sempadan Geografi - Khaled

PUTRAJAYA: Kebolehpasaran graduan yang dilahirkan oleh universiti tempatan harus melangkaui sempadan geografi kerana pasaran pada hari ini memerlukan pekerja yang memiliki pelbagai bakat dan kebolehan.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata ke bolehdapatan kerja graduan tempatan seharusnya tinggi di semua negara Islam.

Beliau berkata demikian pada perasmian Sidang Kemuncak Pendidikan Tinggi Global Arab-Malaysia 2012 di sini, pada Khamis.

Mohamed Khaled berharap pelbagai amalan terbaik akademik setiap universiti dapat dikongsi, diterima pakai dan dipindahkan menerusi persidangan dua hari itu.

Teks ucapannya dibacakan oleh Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi, Datuk Prof Dr Rujhan Mustafa.

Persidangan itu bertujuan mewujudkan platform bagi ketua-ketua universiti dari dunia Arab dan Malaysia mengadakan perbincangan antara tokoh akademik dan pihak berkuasa dalam bidang pendidikan tinggi dari dalam dan luar negara.

Persidangan tersebut dianjurkan oleh Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Akademi Kepimpinan Pengajian Tinggi (AKEPT) dan Persatuan Universiti-Universiti Arab (AArU).

Pada majlis itu, USIM dan 16 universiti Arab menandatangani memorandum persefahaman bagi menerokai perkongsian ilmu dan pengalaman, penyelidikan saintitifik dan program pertukaran staf. BERNAMA

Artikel Berikut

14 Pati Ditahan Polis Marin

Artikel Lain