suria

Kastam Johor Gagal Cubaan Seludup Masuk Rokok, Minuman Keras

JOHOR BAHRU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor menggagalkan cubaan menyeludup masuk rokok putih dan minuman keras dianggarkan berharga RM831,702.75 termasuk cukai selepas menahan tiga buah van di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin, Bangunan Sultan Iskandar (BSI), di sini, Selasa lepas.

Pemangku Pengarahnya, Abdullah Sidik berkata, ketiga-tiga van bernombor pendaftaran Malaysia itu ditahan sepasukan kastam dengan kerjasama polis bantuan dan anggota Rela ketika berada di lorong laluan masuk bas, antara pukul 2 hingga 2.10 pagi.

"Pemeriksaan terhadap van pertama dipandu seorang lelaki berusia 25 tahun menemui 700,000 batang rokok putih jenama Luffman dianggarkan bernilai RM382,200 termasuk cukai.

"Van kedua yang dipandu seorang lelaki berusia 31 tahun didapati membawa 140,000 batang rokok putih berjenama Canyon dan 1,788 botol minuman keras pelbagai jenama berharga RM260,215 termasuk cukai," katanya kepada pemberita, di sini, Jumaat.

Abdullah berkata, pemeriksaan ke atas van ketiga pula yang dipandu lelaki berusia 29 tahun menemui 1,440 botol minuman keras pelbagai jenama yang kesemuanya dianggarkan bernilai RM189,287.28 termasuk cukai.

Beliau berkata, ketiga-tiga pemandu rakyat tempatan itu ditahan reman bagi membantu siasatan lanjut berhubung kes tersebut mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 kerana mengangkut barang larangan. - BERNAMA

Artikel Berikut

14 Pati Ditahan Polis Marin

Artikel Lain