suria

Fasa Kedua NKRA Jenayah Dilancar 14 Okt

JOHOR BAHARU: Fasa kedua Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Mengurangkan Jenayah dijadual dilancar di negeri ini pada 14 Okt oleh Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Pengerusi Urus Setia NKRA Bukit Aman Datuk Ayub Yaakob berkata pelancaran di negeri lain akan menyusul selepas itu.

"Sebanyak RM591 juta diperuntukkan untuk pelaksanaan fasa kedua NKRA Memerangi Jenayah sebagaimana yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menerusi Belanjawan 2013," katanya pada sidang media, di sini, Khamis.

Menurut beliau peruntukan itu telah mengambil kira pandangan pelbagai pihak termasuklah menerusi sesi dialog, program 'omnipresence' (polis di mana-mana) dan tinjauan mesra Perdana Menteri.

Beliau sebelum itu hadir mesyuarat pelaksanaan NKRA bersama agensi keselamatan dan badan bukan kerajaan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor.

Menerusi fasa kedua, sebanyak 1,000 motosikal diperuntukkan bagi kegunaan Unit Rondaan Bermotosikal yang diguna untuk memantau kawasan perumahan, kompleks perniagaan, sekolah dan kawasan tumpuan orang ramai.

Selain itu katanya, ia turut melibatkan penambahan bilangan anggota sukarelawan polis sebanyak 10,000 orang termasuk 900 orang bagi Kontinjen Johor dalam membantu membanteras jenayah secara lebih berkesan.

"Ini menunjukkan kerajaan serius dalam mengurangkan jenayah. Kita akan buktikan kepada orang ramai apa yang diumumkan itu akan sampai dan dirasai mereka sekali gus mengurangkan rasa bimbang terhadap keselamatan," katanya.

Hadir sama Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff, Timbalannya Datuk Ismail Yatim dan Pengarah Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) Pengurangan Jenayah, Eugene Teh. BERNAMA

Artikel Berikut

14 Pati Ditahan Polis Marin

Artikel Lain