suria

Suami-Isteri Didapati Bersalah Pecah Amanah & Gubal Wang Haram Lebih RM1.5 Juta

GEORGE TOWN: Seorang bekas pegawai bank dan suaminya yang merupakan seorang peguam masing-masing telah dihukum penjara 15 tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini setelah didapati bersalah pecah amanah dan terlibat dengan penggubalan wang haram berjumlah lebih RM1.5 juta.

Aishah Mohamed Rose, 51, didapati bersalah melesapkan RM1,578,191 kepunyaan Bank Muamalat Malaysia Bhd Cawangan Universiti Sains Malaysia di Gelugor antara 23 Februari dan 7 Disember 2009.

Manakala suaminya pula, Johari Ahmad, 54, disabitkan kesalahan kerana bersubahat dengannya.

Kedua-dua pasangan itu turut didapati bersalah melibatkan diri dalam aktiviti penggubalan wang haram melibatkan RM183,702.63 di bank yang sama pada 9 Disember 2009.

Dalam penghakimannya, Hakim Sitarun Nisa Abdul Aziz berkata, kedua-dua tertuduh gagal untuk membuktikan yang mereka tidak bersalah.

Hakim Sitarun Nisa mengarahkan hukuman penjara ke atas kedua-duanya bermula pada Khamis.

Peguam bagi kedua-dua tertuduh, Md Yusuf Md Idris, bagaimanapun telah memohon penangguhan hukuman penjara sehingga kes ini didengar oleh Mahkamah Tinggi.

Mahkamah membenarkan mereka diikat jamin sebanyak RM150,000 seorang.

Mereka membayar wang ikat jamin tersebut.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

14 Pati Ditahan Polis Marin

Artikel Lain