suria

Pelaburan Swasta Sumbang 60 Peratus Berbanding Awam

KUALA LUMPUR: Pelaburan swasta kini menyumbang kira-kira 60 peratus daripada jumlah pelaburan di dalam negara berbanding pelaburan awam, Dewan Rakyat pada Khamis dimaklumkan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk S.K. Devamany berkata pelaburan swasta meningkat 22.4 peratus pada separuh pertama tahun ini.

"Sebahagian besar pertumbuhan dijana oleh perbelanjaan swasta terutamanya pelaburan swasta yang mana turut mencatatkan kenaikan 12.2 peratus pada tahun lepas.

"Pelaburan asing turut meningkat kepada RM36.6 bilion pada tahun lepas berbanding sasaran RM30 bilion," katanya ketika menjawab soalan Datuk Tajuddin Abdul Rahman (Pasir Salak-BN) yang ingin tahu hasil kejayaan transformasi ekonomi dan Model Baharu Ekonomi (MBE).

Devamany berkata perlaksanaan program transformasi ekonomi dan MBE terutamanya di bawah Rancangan Malaysia Ke-sepuluh (RMK10) telah meningkatkan daya tahan ekonomi negara dalam persekitaran ekonomi dunia yang lemah.

"Beberapa kejayaan dan sosio-ekonomi yang menggalakkan dapat dicapai hingga negara mencatatkan pertumbuhan 5.1 peratus pada tahun lepas dan 5.1 peratus juga pada separuh pertama tahun ini," katanya.

Beliau berkata projek-projek utama di bawah RMK10 sedang dijalankan mengikut jadual antaranya seperti projek Kuala Lumpur Mass Rapid Transit (MRT), Transit Aliran Ringan (LRT) sambungan, projek Petronas Rapid dan Tun Razak Exchange (TRX) serta projek perumahan 1Malaysia.

Katanya, bagi menggalakkan sektor ekonomi berdaya saing, syarikat peneraju generasi baru seperti Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju), Ekuiti Nasional Berhad (Ekiunas) dan TalentCorp telah ditubuhkan.

"Saya percaya, dengan kerjasama semua pihak dalam melaksanakan agenda transformasi nasional ini serta dengan sokongan sentimen pengguna dan keyakinan pelabur yang kukuh, sasaran pertumbuhan antara 4.0 peratus hingga 5.0 peratus bagi 2012 dapat dicapai," katanya.

Katanya, hingga kini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengumumkan secara keseluruhan 138 projek di bawah ETP dengan jangkaan pelaburan RM203.1 bilion. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

14 Pati Ditahan Polis Marin

Artikel Lain