suria

MB Selangor Dituntut Perjelas Segera Isu Bas Mewah

KUALA LUMPUR: Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dituntut memberi penjelasan segera berhubung isu bas mewah yang digunakan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam siri kempen pilihan raya.

Ketua Penerangan Wanita Umno Datuk Hamidah Osman berkata penjelasan itu perlu setelah Abdul Khalid membuat dua kenyataan berbeza yang mengundang banyak persepsi dan mengelirukan rakyat dalam tempoh tidak sampai satu bulan.

"Saya minta Tan Sri Khalid dalam masa terdekat memberi jawapan dan penjelasan sebenar mengenai perkara ini demi kepentingan rakyat.

"Kalau betul mereka cukup telus dan ikhlas, tak ada apa yang perlu disembunyikan," katanya pada satu sidang media yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), dekat sini, Khamis.

Menurut Hamidah, Abdul Khalid diberi masa seminggu untuk tampil menjawab kemusykilan yang timbul di kalangan rakyat Malaysia ini.

"Kita bagi seminggu...yang penting kita mahu penjelasan dan kebenaran," tegasnya.

Hamidah berkata pihaknya akan meneruskan membuat tindakan susulan sekiranya isu ini tidak dijawab secara memuaskan.

"Kita ada tindakan tapi kita bagi kenyataan dulu dan bagi peluang untuk mereka beri penjelasan," katanya.

Beliau berkata demikian sebagai merujuk kenyataan Abdul Khalid pada 30 Ogos 2012 yang menyatakan bas mewah berkenaan disewa untuk tempoh enam bulan dan dibiayai sepenuhnya oleh beliau.

Pada 27 September, Abdul Khalid sekali lagi membuat kenyataan berhubung isu sama, apabila pembelian bas tersebut turut didakwa mempunyai kaitan dengan pembelian 50 buah lori kompaktor oleh Kerajaan Selangor dari syarikat yang sama.

Sambil menafikan perkaitan itu, Abdul Khalid mengatakan bahawa bas mewah dengan nombor pendaftaran BLU 8779 tersebut 'disewa beli'.

"Dalam hal ini Tan Sri Khalid secara jelas dan nyata telah melakukan pembohongan.

"Sehingga kini beliau tidak tampil menjawab kenapa pada 30 Ogos 2012 beliau mengatakan bas itu disewa dan tak sampai sebulan selepas itu beliau tukar kenyataan mengatakan bas itu disewa beli...yang mana satu yang betul," katanya.

Hamidah berkata, persoalan juga timbul berhubung butir-butir bas berkenaan yang didedahkan portal www.sel13.com yang mendakwa bas berkenaan didaftarkan pada 3 September 2012 di atas nama Abdul Khalid Ibrahim.

Dalam perkara ini, Hamidah mempersoalkan bagaimana sebuah bas yang disewa boleh mempunyai rekod Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di atas nama penyewa itu sendiri.

"Secara logiknya bas tersebut patut didaftarkan di bawah nama syarikat atau individu yang menjalankan perniagaan menyewa kenderaan," katanya.

Isu bas mewah timbul apabila bas berkenaan disimbah cat dan dipecahkan cermin oleh sekumpulan pemuda ketika dinaiki Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim yang mengadakan siri jelajah kempen pilihan raya di Kelantan.

Susulan kejadian, beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mendesak pihak berkuasa menyiasat sekiranya berlaku penyelewengan dalam pemilikan, pembelian dan penyewaan bas yang didakwa dibeli Abdul Khalid dengan harga RM900,000.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

14 Pati Ditahan Polis Marin

Artikel Lain