suria

K'jaan Perlu Pastikan GLC, Swasta Akur Had Umur Persaraan - Persatuan

KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta mewujudkan satu mekanisme pelaksanaan bagi memastikan semua syarikat swasta dan syarikat berkaitan kerajaan mematuhi had umur persaraan minimum 60 tahun untuk sektor itu.

Presiden Majlis Perhubungan Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC) Mohamed Shafie BP Mammal berkata ini kerana wujud pertanyaan dalam kalangan pekerja swasta mengenai kesungguhan majikan mereka melaksanakan dasar itu.

"Walaupun Parlimen meluluskan Rang Undang-Undang Umur Persaraan Minimum 2012 bagi pekerja sektor swasta, namun apa yang dikhuatiri ialah kebanyakan majikan tidak memandang serius mengenai apa yang telah diluluskan.

"Kita khuatir ada sesetengah majikan memohon tempoh penangguhan bagi melaksanakannya seperti yang terjadi apabila kerajaan menetapkan gaji minimum RM900 untuk pekerja swasta," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat UNI-MLC, di sini, Khamis.

Pada 27 Jun lepas, rang undang-undang itu yang menetapkan umur persaraan minimum pekerja swasta dilanjutkan sehingga 60 tahun diluluskan Dewan Rakyat, dan akan berkuat kuasa Januari 2013.

Mohamed Shafie berkata alasan syarikat memerlukan masa untuk memperbaharui sistem pengurusan mereka bagi melaksanakan dasar itu tidak boleh diterima kerana kerajaan telah memberi yang cukup untuk majikan melakukan persediaan.

"Negara jiran kita Singapura pun tetapkan umur bersara wajib pada 62-65 tahun... Jika ada anggota lembaga pengarah syarikat yang umur mereka lebih 60 tahun masih berkhidmat, mengapa tidak bagi golongan pekerja peringkat bawahan.

"Kami tak nak ada isu 'double standard'," katanya dan menambah pihaknya akan menghantar satu surat memohon diadakan satu sesi dialog bersama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bagi membincangkan hal tersebut.

"Kami berharap Kementerian Sumber Manusia juga dapat menyertai sesi dialog itu nanti bagi memikirkan bersama kaedah untuk memastikan 12 juta pekerja sektor swasta di negara ini terjamin," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

14 Pati Ditahan Polis Marin

Artikel Lain