suria

Insentif Belanjawan 2013 Lonjak Semangat Warga ATM

PETALING JAYA: Pelbagai insentif dan peruntukan yang diumumkan kerajaan melalui Belanjawan 2013 kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mampu melonjakkan lagi semangat warga tentera untuk bekerja lebih gigih.

Panglima Tentera Udara Jeneral Tan Sri Rodzali Daud berkata peruntukan itu membuktikan pengiktirafan dan penghargaan kerajaan terhadap pengorbanan seluruh warga ATM dalam mendepani cabaran mempertahankan kedaulatan dan keselamatan negara.

"Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada kerajaan yang sentiasa mengiktiraf jasa dan pengorbanan warga tentera dalam memelihara keselamatan dan kedaulatan negara.

"Kelengkapan dan kemudahan yang diberi amat kami sanjung tinggi dan berjanji akan terus berkhidmat dan berbakti demi negara tercinta," katanya pada program mesra Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama warga Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Pangkalan TUDM Subang di sini, Khamis.

Jumaat lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika membentangkan Belanjawan 2013 mengumumkan bayaran insentif khas RM200 sebulan kepada 125,708 pegawai dan anggota ATM bermula 1 Jan depan melibatkan peruntukan sebanyak RM301 juta.

Selain itu kerajaan juga mengumumkan pemberian sumbangan RM1,000 secara 'one-off' atau dibayar sekali sahaja kepada 224,000 anggota tentera yang menamatkan perkhidmatan setelah berkhidmat kurang daripada 21 tahun dan tidak menerima pencen, serta memperuntukkan RM12 juta bagi memperkenalkan Skim Perlindungan Insurans Berkelompok kepada anggota tentera dan polis yang sedang berkhidmat.

Skim itu dijangka akan memberi had perlindungan maksimum sehingga RM15,000 kepada hampir 242,000 anggota tentera dan polis yang sedang bertugas.

Mengenai lawatan Muhyiddin, Rodzali berkata beliau mewakili warga ATM dan TUDM khasnya amat berbesar hati atas kesudian timbalan perdana menteri meluangkan masa mendekati pasukan itu di sebalik jadual harian yang padat.

"Selain peruntukan dan insentif yang telah diumumkan, kehadiran timbalan perdana menteri membuktikan kerajaan sentiasa prihatin dan dekat dengan pasukan keselamatan ini," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

14 Pati Ditahan Polis Marin

Artikel Lain