suria

IKBN Sedia Peluang Latihan Kemahiran Golongan Belia - Shabery

KEMAMAN: Pembinaan institut kemahiran termasuk Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) di seluruh negara bertujuan memastikan golongan belia mendapat peluang latihan mengikut minat masing-masing.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, pembinaan institut tersebut juga sebagai langkah persediaan negara untuk menjadi negara maju dengan rakyat berpendapatan tinggi, menjelang tahun 2020.

"Negara memerlukan sekurang-kurangnya 33 peratus pekerja berkemahiran tinggi menjelang 2015 dan 50 peratus menjelang 2020 dalam pelbagai bidang berbanding hanya 28 peratus yang ada kini," katanya ketika berucap pada majlis perasmian IKBN Kemasik di sini, Khamis.

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan merasmikan IKBN tersebut diiringi Sultanah Nur Zahirah. Turut hadir Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said.

Menurut Ahmad Shabery, IKBN Kemasik merupakan sebahagian daripada pelbagai institut latihan kemahiran awam yang diwujudkan kerajaan di Terengganu seperti Institut Latihan Perindustrian (ILP) di Gong Badak, Kuala Terengganu dan di Marang.

Selain dua ILP itu, Terengganu juga mempunyai dua buah kolej Komuniti di Kemaman dan Kuala Terengganu, Institut Kemahiran Tinggi Mara di Besut dan 10 Pusat Giat Mara di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

Jelas Ahmad Shabery, sepanjang tempoh Rancangan Malaysia ke-10 dijangka 1.5 juta pekerjaan baru akan diwujudkan dengan 80 peratus diperlukan untuk guna tenaga dalam sektor perkhidmatan.

IKBN Kemasik yang bernilai RM78 juta itu mula dibina pada 2007 dan siap sepenuhnya pada akhir 2010 dan memulakan sesi pengajian pada Julai 2011 serta kini mempunyai 200 pelajar.

Ia merupakan IKBN kedua di Terengganu, selepas IKBN Wakaf Tapai di Marang dengan menawarkan kursus awal termasuk bidang perhotelan, hospitaliti, perkhidmatan personel dan multimedia.

Sementara Akademi Kemahiran Belia Golf (AKBG) turut ditawarkan sebagai sebahagian daripada komponen kursus di IKBN tersebut. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

14 Pati Ditahan Polis Marin

Artikel Lain