suria

Edar Dadah: Penjaga Kambing Dihukum Gantung Sampai Mati

ALOR SETAR: Seorang penjaga kambing, G. Rajaputran dihukum gantung sampai mati setelah didapati bersalah atas tuduhan mengedar dadah oleh Mahkamah Tinggi Alor Setar, pada Rabu.

Pesuruhjaya Kehakiman Mohd Zaki Abdul Wahab menjatuhkan hukuman itu terhadap Rajaputran, 22, selepas pihak pembelaan gagal membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

Tertuduh didakwa mengedar dadah jenis heroin dan monoacetylmorphines seberat 39.98 gram di Lorong 1, Taman Bayan, Kulim, pada 3 pagi, 8 Mei tahun lepas.

Mohd Zaki berkata keterangan tertuduh bercanggah dengan keterangan lima saksi pendakwa dan mendapati pembelaan tertuduh hanya penafian semata-mata.

Dalam pembelaannya, tertuduh tidak menafikan membawa beg kanvas yang di dalamnya terdapat plastik beras jati mengandungi dadah berbahaya dan menjadi pokok pertuduhan terhadap beliau, kata Mohd Zaki. "Tertuduh mengatakan pada masa dia terjatuh dan ditangkap dua anggota polis, tidak terdapat plastik beras jati. Dadah tersebut hanya ditunjukkan seorang lelaki India selepas dia ditangkap dan dibawa ke satu tempat adalah penafian semata-mata," katanya.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama, yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Aisyaf Falina Abdullah manakala tertuduh diwakili peguam T. Jayaraj. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

14 Pati Ditahan Polis Marin

Artikel Lain