suria

Dua Lelaki Disyaki Terlibat Dalam Kes Cuba Pecah ATM Di Tahan

SHAH ALAM: Dua lelaki yang disyaki terlibat dalam kes cuba memecah mesin juruwang automatik (ATM) Bank Simpanan Nasional di Pekan Sungai Buloh, Jeram ditahan Isnin lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, SAC Mohd Adnan Abdullah berkata kedua-dua suspek yang berumur 19 dan 20 tahun itu ditahan antara pukul 5 petang hingga 11 malam di Taman Amar, Sungai Buloh.

Beliau berkata kedua-dua suspek yang tidak mempunyai rekod jenayah ditahan reman sehingga esok sementara kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

Sementara itu Mohd Adnan meminta orang ramai yang melihat kejadian lima lelaki bersenjatakan pistol melarikan wang tunai kira-kira RM1 juta dari sebuah van keselamatan dan kemudian membakar kenderaan berkenaan di Jalan Tiong, Off Jalan Eng Ann, Klang petang semalam supaya tampil membantu siasatan polis.

Beliau berkata pihak polis akan menyiasat kes itu menerusi kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di sekitar kawasan terbabit.

Van itu dilarikan dari hadapan sebuah kedai nombor ekor di Jalan Meru hingga ke Jalan Tiong apabila van itu dibakar.

Mohd Adnan berkata kereta Waja berwarna hijau yang digunakan para perompak itu dan dipercayai menggunakan nombor pendaftaran palsu masih belum ditemui.

Kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

14 Pati Ditahan Polis Marin

Artikel Lain