suria

Terengganu Rancang ‘Summer Camp’ Untuk Pelajar Cemerlang SPM Tahun Depan

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Terengganu akan mengadakan program 'Summer Camp' atau kem musim panas bagi pelajar terbaik Sijil Pelajaran Malaysia tahun depan, bagi mendedahkan mereka dengan kehidupan di kampus.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman berkata program perintis itu akan diadakan dengan kerjasama Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

"Antara lain program bertujuan memastikan pelajar Terengganu bersedia dari aspek mental dan fizikal sebelum melanjutkan pelajaran ke perantauan yang semestinya menuntut emosi dan kesabaran tinggi," katanya kepada pemberita, di sini, Rabu.

Selain itu katanya, program juga bertujuan menangani kelemahan penuntut Terengganu pada aspek komunikasi sama ada dalam bahasa Inggeris mahupun bahasa Melayu.

Beliau sebelum itu merasmikan Program Pertandingan Memasyarakatkan Inovasi Pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) 2012 di UMT, yang disertai 17 kumpulan dari IPT Pantai Timur bagi memilih enam kumpulan mewakili Zon Pantai Timur ke peringkat kebangsaan.

Mengulas mengenai usaha kerajaan negeri untuk meningkatkan lagi kemahiran kreativiti dan reka cipta pelajar di sekolah menengah, Ahmad Razif berkata kerajaan negeri akan menganjurkan pertandingan itu dengan kerjasama UMT sebagai konsultan.

"Ini bertepatan dengan hasrat kerajaan yang ingin pelajar lebih kreatif dan inovatif dalam menghadapi persaingan sengit dalam dunia serba canggih sekarang," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain