suria

LRT Kelana Jaya Tamat Awal, Operasi Lambat

KUALA LUMPUR: Bermula Sabtu ini, perkhidmatan LRT Kelana Jaya akan bermula lewat dan berakhir lebih cepat susulan kerja-kerja menaik taraf pada perkakasan sistem kawalan automatik tren.

Syarikat Prasarana Negara Berhad (Prasarana) berkata sepanjang tempoh itu hingga 9 Dis ini, perkhidmatan LRT di laluan tersebut akan menamatkan operasi pada 11 malam dan menyambung semula pada 8 pagi keesokannya.

Bagi menampung keperluan penumpang pada Ahad, RapidKL akan menyediakan perkhidmatan bas percuma di lima laluan dari stesen terpilih menuju ke pusat bandar raya selama dua jam dari 6 pagi, kata Prasarana dalam kenyataan pada Selasa.

Laluan bas berkenaan ialah dari Stesen Kelana Jaya ke KLCC melalui KL Sentral, Pasar Seni dan Masjid Jamek; Stesen Asia Jaya ke KLCC melalui KL Sentral, Pasar Seni dan Masjid Jamek; Stesen Gombak ke KLCC melalui Taman Melati, Wangsa Maju dan Setiawangsa; Stesen Wangsa Maju ke KLCC melalui Setiawangsa, Jelatek dan Dato' Keramat; serta dari Stesen Setiawangsa ke KLCC melalui Jelatek dan Dato' Keramat.

Perubahan perkhidmatan LRT ini hanya pada hujung minggu, kata kenyataan itu. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain