suria

Dua Lelaki Ditahan, 6,000 VCD Lucah Bernilai RM90,000 Dirampas

PETALING JAYA: Dua lelaki berumur 18 dan 30-an ditahan manakala lebih 6,000 VCD lucah bernilai RM90,000 dirampas dalam serbuan ke beberapa stor dan premis di sebuah pusat membeli belah di Subang Jaya, di sini Rabu.

Ketua Cawangan Selangor Bahagian Kawalan Penapisan Filem dan Penguatkuasaan Kementerian Dalam Negeri, Noor Aziah Abdullah berkata, sebanyak 11,000 keping VCD cetak rompak bernilai RM110,000 turut dirampas dalam serbuan ke atas tiga stor dan empat premis perniagaan itu.

"Suspek berumur 18 tahun disiasat di bawah Seksyen 6(1) Akta Penapisan Filem 2002 kerana menjual video cetak rompak dan Seksyen 5(2) Akta yang sama kerana membuat salinan DVD lucah," katanya kepada pemberita di sini Rabu.

Beliau berkata, suspek berumur 30-an pula ditahan di bawah Seksyen 6(1) Akta Penapisan Filem 2002 kerana menjual video cetak rompak dan jika disabit kesalahan boleh dikenakan denda antara RM5,000 hingga RM30,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun.

Beliau berkata, pihaknya juga akan menyiasat dengan pihak pengurusan pusat membeli-belah berkenaan kerana sebuah stor yang diserbu itu terletak di dalam bilik Air Handling Unit (AHU).

Terdapat juga stor yang diserbu buat kali kedua tahun ini dan mengulangi kesalahan yang sama, dan untuk itu Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) akan menyita premis-premis itu, katanya.

Serbuan itu dibuat bersama Bahagian Kawalan Penapisan Filem, MPSJ dan Lembaga Pelindung dan Kebajikan Pengguna Malaysia. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain