suria

Rapid: Azalina Gesa Mazlan Mohon Maaf Secara Terbuka

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said menggesa Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman meminta maaf secara terbuka berhubung tuduhan yang dilemparkan terhadap penglibatannya dalam Projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (Rapid).

Sambil menyifatkan tuduhan tersebut sebagai 'malafide', Azalina yang juga Ketua Umno Bahagian Pengerang menegaskan beliau tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan saman terhadap Mazlan sekiranya beliau enggan memohon maaf secara terbuka.

"Dia membuat tuduhan bahawa saya adalah individu yang bertanggungjawab membawa Rapid ini ke Pengerang dan sayalah yang menyakinkan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dalam projek ini.

"Saya amat terperanjat dan ini tuduhan ini berniat jahat ke atas diri saya. Saya agak terkilan sebab saya sudah menang tanpa bertanding di kawasan itu sudah dua kali dan saya tidak berbuat sesuatu yang akan mengetepikan kepentingan rakyat Pengerang.

"Kalau ada saya jumpa Perdana Menteri pun penubuhan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) di Bandar Penawar dan bandar baru Felda," katanya ketika ditemui pemberita di Lobi Parlimen pada Selasa.

Azalina berkata pada ketika ini peguamnya sedang meneliti video dan teks ucapan Mazlan ketika Himpunan Hijau Lestari di Pengerang, Ahad lepas.

Jelas Azalina, peguamnya telah mendapati mempunyai bukti kukuh untuk meneruskan saman terhadap Ahli Jawatankuasa PAS pusat itu sekiranya beliau enggan memohon maaf secara terbuka dalam masa terdekat.

"Peguam saya akan mengeluarkan surat menuntut permohonan maaf daripada Mazlan. Jika tidak saya akan saman dia (Mazlan), Harakahdaily dan mana-mana portal atau akhbar yang turut memuatkan ucapan Mazlan kerana ia berniat jahat. Tapi hendak buat tuduhan terhadap saya siasat la dahulu," katanya.

Jelasnya, pembangkang perlu menyemak fakta sebenar sebelum melemparkan apa-apa tuduhan terhadapnya.

"Saya tidak kisah pilihan raya dekat atau tidak. Kalau hendak tuduh pun semak fakta dulu. Saya bukan ahli Lembaga Petronas, saya bukan ahli Lembaga Pengarah Johor Development Corporation Oil dan Gas saya juga bukan ahli DIALOG.

"Saya hanya Ahli Parlimen Pengerang. Tuduhan ini berniat jahat untuk memburukkan imej sebagai Ahli Parlimen," katanya.

Pada Ahad, Mazlan ketika berucap dalam Himpunan Hijau Lestari di Pengerang mendakwa Azalina adalah individu terpenting yang memainkan peranan supaya Rapid dibuat di Pengerang.

Himpunan anjuran Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) tersebut dihadiri kira-kira 3000 orang.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain