suria

Polis Yakin Kes Dua Anggotanya Ditembak Selesai Dalam Masa Terdekat

KUALA LUMPUR: Polis percaya tindakan seorang remaja menyerah diri di Balai Polis Kepong di sini, Isnin mampu mempercepat siasatan kes dua anggotanya yang ditembak Rabu lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah berkata remaja berusia 17 tahun itu dipercayai mempunyai maklumat bagi membantu polis memburu seorang lagi suspek yang masih bebas.

"Saya percaya siasatan terhadap remaja itu akan membawa kita kepada lokasi persembunyian suspek terakhir dalam kejadian itu," katanya ketika dihubungi Bernama Selasa.

Mengenai remaja yang menyerah diri pada 11 pagi semalam selepas gambarnya diedar polis, Ku berkata suspek yang tinggal di Taman Wahyu, Jinjang itu akan ditahan reman hingga Isnin depan bagi membantu siasatan.

Polis menembak mati seorang daripada suspek di Taman Desa Water Park pada pukul 3 pagi Ahad lepas.

Dalam kejadian 6.45 petang Rabu lepas, Koperal R.Subramanian, 52, dan Koperal Nor Azlan Abu Bakar, 41, ditembak ketika cuba melakukan pemeriksaan terhadap sebuah kereta yang dinaiki tiga lelaki, di persimpangan lampu isyarat di kawasan Lebuhraya Kuala Lumpur-Putrajaya berdekatan Kuchai Lama di sini.

Subramaniam cedera di bahagian perut dan rakan setugasnya Nor Azlan cedera di leher. Keadaan mereka dilapor stabil di Pusat Perubatan Universiti Malaya, Petaling Jaya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain