suria

Perlu Ada Akta Kawal Kemasukan Dana Asing - Ibrahim Ali

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu menggubal satu undang-undang bagi mengawal kemasukan dana asing melalui badan bukan kerajaan (NGO), cadang seorang anggota Parlimen Bebas pada persidangan Dewan Rakyat, di sini, Selasa.

Datuk Ibrahim Ali yang memberi contoh Foreign Agents Registration Act yang diguna pakai Amerika Syarikat, berkata dengan adanya akta sedemikian, NGO wajib merekod dan mengisytiharkan dana yang diterima mereka, baik dari dalam atau luar negara kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS).

Ini berikutan perkembangan semasa yang menyaksikan campur tangan asing dalam bentuk demikian semakin berleluasa di beberapa negara termasuk Malaysia, kata Anggota Parlimen Pasir Mas itu ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2013.

"Ini penting. Jangan kita tunggu, sediakan payung sebelum hujan. Jangan terlambat bertindak sekarang, jangan takut-takut. Ini untuk keselamatan negara bukan untuk menyekat demokrasi," katanya.

Beliau menegaskan Malaysia perlu melihat kepada kebangkitan 'Arab Springs' di Timur Tengah yang dikatakan berpunca dari luar melibatkan NGO.

Ibrahim turut menyarankan kerajaan menyediakan dana mencukupi kepada NGO berdasarkan keanggotaan mereka bagi mengelakkan perkara seperti itu berlaku di negara ini.

Sementara itu, menyentuh perkara berbeza, beliau meminta Kementerian Pelajaran menyiasat buku teks tingkatan tiga bertajuk 'Harga Sebuah Lukisan' yang didakwa memetik ayat al-Quran yang didapati tidak terkandung dalam al-Quran.

Katanya perkara itu perlu diberi perhatian kerana boleh mengelirukan pelajar khususnya mereka yang beragama Islam.

Persidangan Dewan Rakyat bersambung esok. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain