suria

Mayat Dengan Kesan Terbakar Ditemui Di Kawasan Semak

KUALA LUMPUR: Mayat seorang lelaki dengan kesan terbakar 60 peratus dijumpai di kawasan semak berhampiran Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Muhibbah, Puchong di sini, Ahad.

Ketua Polis Daerah Cheras, ACP Mohan Singh Tara Singh berkata, mayat itu ditemui seorang lelaki yang terhidu bau busuk ketika melalui kawasan berkenaan kira-kira pukul 6 petang.

"Dia menjejaki bau itu sebelum menemui mayat seorang lelaki yang hampir reput selain kesan pembakaran di kelilingnya," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Daerah Cheras di sini, Isnin.

Mohan Singh berkata, polis percaya mangsa dibunuh di tempat lain dan mayatnya dicampak di kawasan semak tersebut. Tiada senjata, kesan pergelutan atau kesan darah ditemui di lokasi itu.

Menurutnya, polis bagaimanapun menemui guni plastik yang dipercayai digunakan untuk mengangkat mayat mangsa sebelum dibakar.

Tiada dokumen pengenalan diri ditemui di sisi mayat yang dijumpai dalam keadaan berpakaian lengkap.

Mayat dihantar ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Dalam perkembangan lain, seorang wartawan stesen televisyen swasta disamun tiga lelaki bersenjatakan gunting rumput di hadapan rumahnya di Jalan Perkasa 5, Taman Maluri, Cheras, awal pagi Isnin.

Mohan Singh berkata, dalam kejadian 2.40 pagi itu, beg tangan mangsa berumur 31 tahun itu dilarikan ketika dia dan suaminya pulang daripada majlis kenduri.

"Mangsa yang ketika itu masih dalam kereta tiba-tiba didatangi tiga lelaki bermotosikal yang terus membuka pintu kereta dan menyentap beg tangan wanita itu," katanya.

Menurutnya, suami mangsa mengejar kesemua suspek dengan kereta bersama dua anggota unit peronda polis menaiki motosikal yang kebetulan berada di kawasan kejadian selepas terdengar jeritan mangsa," katanya.

Mohan Singh berkata, suami mangsa tekad melanggar suspek-suspek itu selepas mengejar mereka sejauh dua kilometer hingga ke kawasan berhampiran Kompleks Maluri.

"Dua suspek berusia 18 dan 21 tahun berjaya diberkas manakala seorang lagi melarikan diri. Kedua-dua mereka yang cedera akibat terjatuh daripada motosikal menerima rawatan di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia," katanya, sambil menambah, polis menemui beg tangan mangsa dan senjata yang digunakan suspek.

Siasatan mendapati kesemua suspek terlibat dalam beberapa kes samun di Cheras dan beberapa daerah lain.

Kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan melakukan samun berkumpulan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain