suria

Malaysia Tidak Perlu Tubuh Jawatankuasa ICPD-POA - PM

KUALA LUMPUR: Malaysia tidak perlu menubuhkan Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Pencapaian Persidangan Antarabangsa Mengenai Penduduk dan Pembangunan Program Bertindak (ICPD-PoA) buat masa ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata ini kerana Malaysia telah pun mencapai hampir kesemua matlamat dan sasaran Matlamat Pembangunan Milenium (MDG) menjelang tahun 2015.

Katanya Malaysia juga komited terhadap pencapaian MDG-Plus (sasaran tambahan), yang mana ia juga meliputi perkara-perkara yang digariskan di dalam ICPD-PoA.

"ICPD-PoA merupakan satu pelan tindakan yang diwujudkan oleh ICPD, dipersetujui oleh 179 buah negara, tidak menetapkan sebarang matlamat atau sasaran untuk dicapai.

"Ia merupakan satu garis panduan bagi sesebuah negara dalam melaksanakan program dan aktiviti berkaitan kependudukan dan pembangunan," katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Fong Po Kuan (DAP-Batu Gajah) di Dewan Rakyat di sini, Selasa.

Fong ingin tahu sama ada ICPD dan MDG sedia ditubuhkan dengan penglibatan Anggota Parlimen bagi memastikan sasaran dicapai.

Bagaimanapun, katanya, sebahagian besar perkara-perkara yang terkandung dalam ICPD-PoA telah pun dijadikan matlamat dan sasaran dalam MDG mulai 2000.

Secara keseluruhan, katanya, Malaysia telah melaksanakan program dan aktiviti kependudukan dan pembangunan berdasarkan garis panduan yang dinyatakan dalam pelan tindakan ICPD PoA.

Sebagai contoh, beliau berkata Malaysia dapat mengurangkan insiden kemiskinan daripada 16.5 peratus pada tahun 1990 kepada 3.8 peratus pada tahun 2009, hasil daripada pelbagai dasar dan strategi pembangunan kerajaan.

"Selain itu, Malaysia juga tidak mengamalkan diskriminasi gender dalam pendidikan dan telah berjaya mencatatkan enrolmen sekolah rendah melebihi 97 peratus bagi kedua-dua gender," katanya.

Perdana Menteri berkata sehingga kini, Malaysia mencapai hampir kesemua sasaran MDG kecuali satu sasaran iaitu bagi memberhentikan penyebaran dan seterusnya menghapuskan HIV/AIDS menjelang tahun 2015.

Katanya kerajaan amat prihatin terhadap kesan dan impak HIV/AIDS kepada kesejahteraan rakyat keseluruhannya, dengan mewujudkan satu Pelan Strategik Kebangsaan mengenai HIV/AIDS 2011-2015.

Beliau berkata Malaysia juga komited dengan Ikrar Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dalam menangani isu HIV/AIDS dalam mencapai sifar jangkitan baharu HIV, sifar diskriminasi dan sifar kematian berkaitan AIDS. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain