suria

PKFZ: Faedah 7.5 Peratus Konsisten Dengan Penilaian JPPH, Kata Akauntan

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi diberitahu kadar faedah sebanyak 7.5 peratus dalam perjanjian jual beli antara Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB) dan Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) berkaitan projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ), konsisten dengan konsep penilaian Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH).

Akauntan Mok Chew Yin, yang memberi keterangan pada perbicaraan bekas Menteri Pengangkutan Tun Dr Ling Liong Sik, berkata berdasarkan pengiraannya, kadar RM25 yang dinyatakan dalam perjanjian itu tidak termasuk faedah 6 peratus atau 7 peratus.

"Faedah 6 peratus (seperti dinyatakan dalam surat JPPH bertarikh 29 September dan 9 Oktober 2000) atau 7.5 peratus (dalam perjanjian jual beli) perlu dikenakan sepanjang tempoh pembayaran balik, dan ia lebih tinggi daripada nilai tanah atau harga belian bagi memperoleh kadar khas RM21 skp (sekaki persegi)," katanya.

Beliau berkata, berdasarkan surat penilaian JPPH, harga pembelian tunai tanah itu ialah RM20.75 skp (digenapkan ke RM21 skp) dan ia merupakan nilai khas yang mengambil kira kos pembangunan asas tertentu yang perlu ditanggung penjual.

"Jika harga belian dibayar mengikut terma pembayaran tertunda, kadar nilai tanah mungkin lebih tinggi daripada RM21 skp. Berdasarkan terma kewangan dalam surat penilaian JPPH bertarikh 29 September 2000 (deposit tahun pertama sebanyak 5 peratus, kadar kupon (atau kadar faedah) 6 peratus, tiada faedah pada tahun pertama, bayaran faedah hanya pada tahun ketiga dan keempat, bayaran tahunan untuk imbangan (termasuk faeda) bermula pada tahun kelima), kadar nilai tanah menggunakan diskaun sebanyak 8.25 peratus akan meningkat kepada RM25 skp jika tempoh pembayaran ialah 10 tahun dan RM25.82 skp bagi 15 tahun," katanya.

Mok, pengarah eksekutif BDO Consulting, berkata harga tunai bagi jumlah keseluruhan ialah RM1.808 bilion seperti yang dinyatakan dalam perjanjian jual beli bersamaan harga tunai RM20.77 skp berdasarkan kadar diskaun 8.25 peratus.

"Ini konsisten dengan nilai khas RM21 skp yang dinyatakan dalam surat JPPH bertarikh 29 Okt 2000. Jelas dinyatakan dalam surat itu bahawa harga akan menjadi lebih tinggi jika pembayaran dibuat dalam tempoh lebih lama.

"Saya merumuskan bahawa kadar RM25 skp atau RM25.82 skp yang dinyatakan dalam dua surat JPPH dalam perjanjian jual beli adalah tidak termasuk faedah yang dikenakan," katanya.

Dr Ling, didakwa menipu kerajaan Malaysia apabila tidak mendedahkan kepada Jemaah Menteri fakta berkaitan kadar faedah sebanyak 7.5 peratus setahun adalah tambahan kepada harga pembelian tanah pajakan negeri 7324 Lot 67894 yang berasaskan RM25 skp iaitu RM1,088,456,000 sedangkan beliau tahu JPPH, dalam menentukan nilai kadar RM25 skp, telah mengambil kira kadar kupon/faedah.

Beliau juga didakwa atas dua pertuduhan pilihan (pindaan) iaitu menipu dan sengaja tidak mendedahkan kepada Jemaah Menteri fakta berkaitan kadar faedah sebanyak 7.5 peratus setahun adalah kadar faedah tambahan kepada harga pembelian tanah pajakan 7324 Lot 67894 berasaskan RM25 skp iaitu RM1,088,456,000.

Bekas Menteri Pengangkutan itu didakwa melakukan semua kesalahan itu di tingkat 4, Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya antara 25 September dan 6 November 2002. Perbicaraan di depan Hakim Datuk Ahmadi Asnawi disambung Khamis ini. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain