suria

Lelaki Asing Ditahan Miliki 51.4 Gram Syabu

SANDAKAN: Seorang lelaki rakyat asing ditahan dan polis merampas 51.4 gram dadah jenis syabu daripadanya di kawasan Terminal Bas Ekspres dekat sini, Sabtu lepas.

Ketua Polis Daerah Sandakan ACP Rowell Marong berkata dadah yang dianggar bernilai RM15,000 itu ditemui dalam bungkusan plastik berisi komponen elektrik yang dibawa lelaki berusia dalam lingkungan 20-an itu.

"Lelaki itu cuba melarikan diri sambil membuang sebungkus beg plastik tetapi beg plastik mengandungi dadah yang dibuangnya itu berjaya ditemui dalam operasi yang dijalankan pada pukul 7.45 malam," katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas Perhimpunan Bulanan Polis Daerah Sandakan di sini pada Isnin, beliau berkata ujian saringan awal terhadap lelaki itu mendapati dia positif dadah.

Pada perhimpunan itu, Rowell menyampaikan 12 sijil penghargaan kepada anggota polis dan seorang pengawal keselamatan atas sumbangan mereka dalam membanteras jenayah. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain