suria

Kadar Hutang Negara Masih Rendah - Pengerusi Uda Holdings

JOHOR BAHARU: Rakyat tidak perlu berasa bimbang dengan kadar hutang negara kerana ia masih berada pada tahap yang rendah berbanding negara-negara Eropah, Amerika Syarikat dan negara membangun.

Pengerusi UDA Holdings Berhad, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata kadar hutang negara 53.7 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kini berada pada tahap yang masih selamat.

"Kadar hutang itu (53.7 peratus) adalah suatu kadar yang masih boleh ditanggung oleh kerajaan dan dianggap rendah berbanding negara-negara Eropah dan Amerika Syarikat itu sendiri."

"Berbanding dengan negara-negara membangun juga, (hutang) kita masih pada paras lebih rendah dan selesa. Asal kita boleh membayar keperluan kadar faedah dengan segera, kita masih selama," katanya di sini, Ahad.

Anggota Parlimen Pulai yang merupakan seorang akauntan bertauliah itu juga meminta rakyat supaya tidak terpengaruh dengan pembangkang yang mendakwa kadar hutang negara adalah tinggi.

Katanya negara juga tidak mempunyai masalah untuk membentangkan belanjawan yang defisit, berikutan kepelbagaian kekayaan negara yang boleh digunakan untuk menampung defisit itu.

"Tidak ada negara di dunia yang membuat belanjawan lebihan, semuanya membentangkan belanjawan defisit dan pinjaman, cuma yang bezanya dengan Malaysia adalah kita mempunyai ruang untuk melaksana belanjawan defisit kerana kita mempunyai pelbagai kekayaan untuk menampung defisit itu," katanya.

Malaysia katanya boleh menggunakan hasil-hasil komoditi dan minyak serta aset-aset negara yang dicairkan untuk menampung defisit terbabit.

Belanjawan 2013 yang dibentang oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak Jumaat lepas menyasarkan defisit negara akan turun kepada 4.0 peratus tahun depan berbanding 4.5 peratus tahun ini.

Selain itu, kata Nur Jazlan negara masih mempunyai ruang yang luas untuk memperbaiki sistem percukaiannya bagi membolehkannya mengutip lebih banyak pendapatan menerusi hasil-hasil percukaian.

Sistem percukaian negara ketika ini, menurutnya, masih berada pada tahap rendah berbanding negara-negara lain.

Adalah salah pada ketika ini untuk memperkenalkan suatu belanjawan yang anti-pertumbuhan ekonomi atau belajawan berjimat cermat kerana ia akan memberikan kesan terhadap keyakinan pelabur serta prestasi ekonomi negara.

"Belanjawan yang mengecilkan ekonomi negara akan mendatangkan kesan yang buruk kepada prestasi ekonomi negara dan menjejaskan keseluruhan rakyat," kata Nur Jazlan.

Beliau juga memuji langkah kerajaan memperuntukan dana yang besar untuk memastikan golongan muda yang tinggal di bandar-bandar besar seluruh negara serta yang baharu memasuki alam pekerjaan berkemampuan memiliki kediaman sendiri.

Ia, katanya membuktikan keprihatinan kerajaan di dalam membela nasib dan mas depan golongan muda negara ini. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain