suria

Dua Keluarga Tinggal Sehelai Sepinggang Kediaman Musnah Dalam Kebakaran

DUNGUN: Dua keluarga tinggal sehelai sepinggang selepas rumah mereka di Kampung Alur Tembesu di sini musnah dijilat api, Ahad.

Dalam kejadian kira-kira 3.39 petang itu, dua rumah yang didiami enam dan empat penghuni, hangus bersama sebuah rumah yang belum dapat dipastikan jumlah penghuninya, manakala sebuah lagi musnah di bahagian dapur.

Penolong Penguasa Bomba Negeri Roslan Mat Din berkata tiga jentera bersama 19 anggota termasuk Bomba Sukarela diarah ke tempat kejadian, dan operasi turut dibantu 11 anggota Jabatan Pertahanan Awam.

"Bomba mengambil masa kira-kira 30 minit untuk mengawal kebakaran daripada merebak ke rumah lain.

"Ketika sampai, api sedang marak menjilat tiga buah rumah berkenaan dan kami berjaya mengawal kebakaran dari memusnahkan keseluruhan rumah keempat. Punca dan nilai kerugian masih dalam siasatan," katanya ketika dihubungi Bernama.

Seorang mangsa, Hasmah Kad Min, 46, berkata ketika kejadian, dia bersama tiga anaknya yang berusia empat hingga lapan tahun, sedang berehat di ruang tamu sebelum terlihat percikan api dari siling rumah.

"Saya panik melihat kejadian itu dan menyuruh kesemua anak keluar dari rumah dan hanya beberapa saat, api marak membakar rumah kami.

"Saya menjerit meminta tolong dari orang kampung, dan kejadian berlaku amat pantas menyebabkan kami gagal meyelamatkan sebarang harta benda," katanya ketika ditemui di sini.

Nur Aini Zakaria, 46, pula berkata ketika kejadian, dia bersama ibu, tiga anak serta anak saudaranya berada di dalam rumah sebelum terdengar teriakan dari belakang rumahnya.

"Saya keluar untuk melihat kejadian itu sebelum melihat api marak sedang membakar rumah jiran dan merebak ke rumah saya.

"Saya memanggil kesemua anggota keluarga saya keluar untuk menyelamatkan diri dan kebakaran itu telah menyebabkan bahagian atas dan bawah rumah kami musnah," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain