suria

Peniaga Usah Ambil Kesempatan Naikkan Harga Makanan - Fomca

KUALA LUMPUR: Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) menasihatkan peniaga agar tidak mengambil kesempatan menaikkan harga berikutan pengurangan subsidi gula sebanyak RM0.20 dalam Belanjawan 2013.

Naib Presiden Fomca Siti Rahayu Zakaria berkata golongan peniaga, terutama peniaga makanan, tidak harus berbuat demikian meskipun harga gula akan meningkat selepas ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pengurangan subsidi bahan mentah itu, yang diumum Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika membentangkan Belanjawan 2013 di Dewan Rakyat, Jumaat.

Bagaimanapun, Siti Rahayu menyifatkan tindakan mengurangkan subsidi gula satu langkah yang baik bagi membolehkan rakyat menilai semula gaya hidup mereka kerana penduduk Malaysia merupakan yang kedua tertinggi di Asia menghidap diabetis.

Beliau berkata belanjawan kali ini turut membantu rakyat Sabah dan Sarawak membiayai kos sara hidup mereka berikutan diskaun 50 peratus bagi tambang feri Sarawak-Labuan-Sabah dan diskaun 50 peratus tambang feri bagi kenderaan komersial yang mengangkut barang di laluan Sarawak-Labuan-Sabah.

Selain itu, Siti Rahayu melihat Belanjawan 2013 lebih mesra rakyat kerana membuka peluang untuk pengguna berpendapatan rendah memiliki rumah.

Di KOTA BAHARU, Presiden Persatuan Pelindung Pengguna Kelantan Ahmad Othman menyambut baik pengurangan subsidi gula dan meminta pengguna memanfaatkannya demi menjaga kesihatan.

Beliau berkata pengurangan subsidi gula adalah wajar jika mengambil kira jumlah rakyat Malaysia yang menghidap diabetis ketika ini, iaitu 2.6 juta orang.

Presiden Persatuan Perlindungan Pengguna Malaysia Datuk Mohd Firdaus Abdullah pula berkata Belanjawan 2013 mampu mengurangkan beban rakyat, terutama golongan berpendapatan sederhana dan rendah.

Sementara itu, Yang DiPertua Persatuan Keselamatan Pengguna Kuala Lumpur Samsudin Mohamad Fauzi berkata belanjawan yang dibentang Perdana Menteri hari ini umpama hadiah besar kepada pengguna.

Beliau berkata rakyat negara ini perlu menghayati keistimewaan belanjawan kali ini dan bersyukur dengan insentif yang kerajaan berikan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Waspada Senjata Pembangkang - PM

Artikel Lain