suria

Pembangkang Tiada Ruang Kritik Belanjawan 2013 - Rais

SEREMBAN: Pembangkang dilihat tidak akan mempunyai ruang untuk mengkritik Belanjawan 2013 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semalam kerana ia memberi kebajikan meliputi semua lapisan masyarakat.

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata, sebaliknya belanjawan kali ini pastinya akan terus menggerakkan rasa penghargaan rakyat kepada negara dan kerajaan sedia ada.

"Saya menyeru rakyat Malaysia, membuka mata, mendengar dan pasang permandangan supaya kita dapat memberi satu pengiktirafan kepada jasa janji ditepati," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas majlis perasmian Program Jelajah Janji Ditepati yang disempurnakan Perdana Menteri di Kompleks Belia dan Sukan Paroi, di sini, Sabtu.

Turut hadir isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor dan Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan.

Sementara itu, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Shaziman Abu Mansor berkata dengan pelbagai peruntukan bagi industri pembinaan dalam belanjawan kali ini, beliau yakin industri itu akan mengalami pertumbuhan yang lebih strategik pada tahun depan.

Katanya, bilangan projek-projek baharu dijangka bertambah sekali gus memberi peluang yang lebih luas kepada kontraktor-kontraktor mengambil bahagian.

"Industri pembinaan dalam Malaysia ini mempunyai masa depan yang amat cerah, kerana banyak projek-projek terutama dalam Program Transformasi Ekonomi yang dilaksanakan pada tahun lepas, tahun ini dan tahun depan," katanya.

Bagi Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad pula, Felda akan bekerjasama dengan kerajaan negeri dalam mengenal pasti tanah-tanah untuk membina 20,000 buah rumah untuk generasi baharu Felda seperti yang dinyatakan Perdana Menteri dalam Belanjawan itu.

"Kita sudah bersedia, memang kita sudah ada tanah, cuma kita mahu lihat dan kenal pasti mana yang sesuai dan kita akan bincang dengan kerajaan negeri dan kita akan bina rumah pasang siap," katanya.

Sementara itu, di KUALA LUMPUR, Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Maglin Dennis D'Cruz berkata pembinaan 100 pusat internet di kawasan perumahan rakyat akan mengalakkan semua pihak terutamanya generasi muda supaya lebih bermaklumat dan berpengetahuan luas dalam semua aspek.

Katanya peruntukan RM150 juta bagi penubuhan pusat tersebut memberi ruang kepada golongan muda untuk mendapat maklumat tanpa sempadan.

"Kampung Wifi memang ada seperti di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak . Pengumuman oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam belanjawan semalam adalah penambahan yang akan diberikan kepada setiap lapisan masyarakat.

"Selain itu, Perdana Menteri juga mengumumkan rebat RM200 telefon pintar 3G kepada belia berusia 21-30 tahun. Ini adalah sokongan kerajaan kepada generasi muda untuk terus berteknologi dan tidak mahu golongan ini ketinggalan," katanya kepada pemberita pada majlis perasmian Kejohanan Taekwondo Remaja Kebangsaan ke-13 di Stadium Badminton Cheras.

Pengarah Teknikal Persatuan Taekwondo Malaysia (TM) R.Dhanaraj berkata seramai 600 peserta dari 31 persatuan dan kelab taekwondo menyertai kejohanan tersebut yang berlangsung dua hari bermula hari ini. Peserta tersebut mengambil bahagian dalam dua kategori iaitu 10-13 tahun dan 14-17 tahun.

"TM akan memilih 12 peserta dari kategori 14-17 tahun yang cemerlang untuk mewakili negara dalam Kejohanan Taekwondo Terbuka Remaja Indonesia pada Disember depan, 15 peserta terbaik dalam kategori 10-13 tahun pula akan dipilih untuk menjalani latihan di Thailand," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Waspada Senjata Pembangkang - PM

Artikel Lain